Gempa bumi Maghribi: Wisma Putra pantau rapi keadaan rakyat Malaysia - Zambry

Fareez Azman
September 10, 2023 15:02 MYT
Zambry ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Agung ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan Wisma Putra terus memantau keadaan rakyat Malaysia di Maghribi susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada Jumaat.
Jelasnya, sehingga kini pihak Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi sedang mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang akan dihantar oleh Malaysia ke negara itu.
"Sehingga pagi tadi, sudah lebih 800 mangsa tetapi dalam masa sama kita ikuti perkembangan keadaan rakyat Malaysia berada di sekitar Marakesh dan kawasan terjejas akibat gempa bumi.
"Sehingga kini, kita mendapati tiada rakyat Malaysia yang terkorban atau cedera. Walau bagaimanapun saya telah arahkan Wisma Putra memantau berterusan.
"Kita nak tahu asal siasatan lanjutan runtuhan bangunan yang ada, tetapi buat masa ini rakyat Malaysia tidak terlibat dalam jumlah terkorban atau tercedera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Agung ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad.
Mengulas lanjut ujar Zambry, Malaysia sedia membantu Maghribi sekiranya ada keperluan dari sudut bantuan barangan asas.
Bagaimanapun tiada keperluan untuk pasukan mencari dan menyelamat diterbangkan ke sana ujarnya lagi.
"Itu yang kita sedang lihat, setakat ini senarai yang berdaftar telah berjaya dihubungi cuma soal rakyat Malaysia tidak berdaftar.
"Sebab itu kita perlu buat pemantauan berterusan beberapa hari ini. Kita doakan rakyat Malaysia selamat dan rakyat Maghribi berada dalam keadaan yang baik.
"Setakat ini, tiada keperluan untuk kita hantar pasukan mencari dan menyelamat ke Maghribi. Seperti di Turkiye, ada keperluan, tapi di Maghribi ini saya tanyakan perkara sama tapi tiada keperluan dulu. Cuaca di sana berbeza dengan Turkiye yang berlaku ketika musim sejuk," katanya.
Angka kematian akibat gempa kuat yang melanda Maghribi kini telah meningkat kepada lebih 2,000 dengan kemusnahan menyeluruh di beberapa kawasan.
#gempa Maghribi #Zambry Abdul Kadir #Wisma Putra #rakyat Malaysia #gempa bumi
;