Gempa bumi Indonesia: Angka kematian meningkat, sekurang-kurangnya 46 ditemui maut

Bernama
November 21, 2022 21:03 MYT
BNPB akan menghantar sebuah helikopter bagi memudahkan pengurusan bencana, pemindahan dan pengagihan logistik. - Gambar/ AP
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh manakala 700 lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda daerah Cianjur, wilayah Jawa Barat pada Isnin.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto berkata kawasan yang terjejas teruk termasuk perkampungan Limbangan Sari.
"Ramai mangsa cedera akibat ditimpa bangunan yang runtuh," katanya ketika sesi taklimat yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
BACA: 20 maut gempa bumi 5.6 magnitud di Indonesia, jumlah mangsa dikhuatiri meningkat
BNPB akan menghantar sebuah helikopter bagi memudahkan pengurusan bencana, pemindahan dan pengagihan logistik, katanya.
Para pegawai masih mengumpulkan maklumat dan setakat ini 343 rumah dilaporkan rosak, menurut jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Banyak infrastruktur termasuk sekolah, hospital, pejabat kerajaan turut terjejas.
Penduduk di kawasan Jakarta dan Bekasi dilaporkan merasai gegaran pada 1.21 petang waktu tempatan.
Gegaran berlanjutan hampir 15 saat di Cianjur dan kurang tujuh saat di Bandung, Bogor, Sukabumi.
Abdul Muhari berkata 32 mukim di Cianjur dilaporkan berpotensi mengalami gempa bumi sederhana hingga tinggi berdasarkan sistem amaran awal pelbagai bahaya, inaRISK.
-- BERNAMA
#gempa bumi Indonesia #Cianjur #kematian meningkat #angka kematian
;