Gempa bumi di Chile ragut enam nyawa setakat ini
Agensi
April 2, 2014 19:06 MYT
April 2, 2014 19:06 MYT
Gempa kuat berukuran 8.2-magnitud yang melanda utara Chile disahkan telah meragut enam nyawa serta mengakibatkan ombak tsunami berukuran lebih dari dua meter membadai pesisir pantai pasifik negara itu.
Gempa bumi itu mengakibatkan lebih 900,000 penduduk di pesisir Chile bertempiatan keluar meninggalkan kediaman masing-masing di samping bergegas ke kawasan selamat sepeti yang diarahkan oleh kerajaan negara terbabit.
Setelah 10 jam gempa bumi terbabit berlaku, kerajaan Chile menarik balik amaran tsunami kebangsaan dan penduduk-penduduk mulai kembali ke rumah masing-masing.
Menurut Sergio Barrientos dari perkhidmatan seismologikal Universiti Chile, sejumlah 17 kejutan lanjur dilaporkan sehingga kini dan kerajaan Chile menjangkakan lebih banyak gegaran susulan akan berlaku untuk beberapa hari akan datang ekoran tenaga gempa di dalam zon gempa yang masih belum habis.
Gempa bumi tersebut berlaku pada 8.46 malam waktu tempatan dengan kedalaman 10 kilometer, kira-kira 83 kilometer dari Iquique di pesisir utara Chile.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang terletak di Hawaii turut mengeluarkan amaran Tsunami bagi mereka yang tinggal sepanjang 4,800 kilometer pantai di Asia Selatan dan Amerika Tengah.
Menurut kenyataan terbabit, ombak setinggi dua meter telah terhasil ekoran gempa terbabit.
Tsunami kecil di Indonesia
Indonesia mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami kecil di negara itu ekoran gempa berukuran 8.2-magnitud sekaligus menasihatkan penduduknya agar menjauhi pantai.
Menurut jurucakap badan bencara negara itu, Sutopo Purwo Nugroho, ombak tsunami setinggi setengah meter ‘berkemungkinan’ akan melanda beberapa kawasan di Indonesia dari awal Khamis.
Nugroho berkata, ombak tsunami pertama mungkin akan tiba sekitar pukul 5 pagi Khamis di bahagian timur Papua, dan pihak berkuasa di 19 wilayah Indonesia telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Antara kawasan lain yang mungkin akan dibadai ombak tsunami ialah kepulauan utama di Jawa, Bali, pulau Sulawesi tengah dan Borneo di Indonesia.