Gempa bumi: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada Turkiye, Syria
Ridauddin Daud
Februari 6, 2023 22:03 MYT
Februari 6, 2023 22:03 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan Turkiye dan Syria serta rakyatnya susulan tragedi gempa bumi dahsyat yang melanda negara berkenaan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut menzahirkan ucapan takziah.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah itu sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
"Seri Paduka berdua berdukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi tersebut serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh," menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye serta Syria dalam tempoh kesedihan ini.
Baginda juga mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.
“Sehubungan dengan musibah itu, Seri Paduka Baginda menyeru masjid dan surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk keselamatan mangsa mereka dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Seri Paduka Baginda turut menyeru masjid dan surau di seluruh negara untuk mengadakan solat jenazah ghaib bagi memohon keampunan daripada Allah untuk mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.
Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.
Setakat ini, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan.