Gema bahasa Melayu di pentas global

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
November 14, 2021 11:18 MYT
Bahasa Melayu Menteri Alam Sekitar Malaysia itu enak dan sopan untuk didengari. Daripada tona suara, jeda, rentak dan gaya, semuanya serba kena di pentas itu, kepada Tuan Ibrahim. -Gambar fail
ADA pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak berhubung penggunaan bahasa Melayu oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ucapannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) baru-baru ini.
Namun, rasa bangga itu sudah pasti. Selebihnya, ia dikatakan membuka lembaran baharu bagi perkembangan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Melihat dan mendengar bahasa Melayu dituturkan di atas pentas dan podium sidang peringkat tertinggi UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland, 10 November lalu, sudah pasti membanggakan rakyat Malaysia.
Tambahan pula, ucapan tersebut disampaikan seorang menteri yang memegang portfolio Alam Sekitar dan Air Malaysia.
Seakan-akan tidak ada sosok yang lebih sesuai untuk berbahasa Melayu di podium tersebut ketika itu.
Bahasa Melayu Menteri Alam Sekitar Malaysia itu enak dan sopan untuk didengari. Daripada tona suara, jeda, rentak dan gaya, semuanya serba kena di pentas itu, kepada Tuan Ibrahim.
Alunan suaranya pula, tenang, pada masa sama, tegas. Perlahan, tetapi tidak kurang penekanan mustahak dalam penyampaian.
Maka, tidak keterlaluan dikatakan bahawa ketika itu, di pentas antarabangsa, dengan isu penting dunia pula, beliau bukan sahaja memperagakan sifat indah bahasa Melayu, tetapi juga perwatakan bangsa yang menuturkannya.
Selain itu, suasana tersebut lebih-lebih lagi mempamerkan kewibawaan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang mampu untuk membawa mawduk berat seperti isu-isu perubahan iklim.
Pada lapis lain, ianya membuka ruang untuk membuktikan bahawa bahasa ini ialah bahasa saintifik.
Kewibawaannya tidak hanya terletak pada keindahan, tetapi juga ketepatan dan ketinggian teknikalnya.
Hakikatnya, bahasa Melayu telah lama membawa serinya di persada antarabangsa sebagai bahasa lingua franca sejak kurun ke-13 lagi. Bahkan, ramai sejarahwan yang berpendapat peranan antarabangsanya telah lama mekar sejak beberapa kurun sebelum itu lagi.
Menurut Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (2015, Himpunan Risalah), Bahasa Melayu telah mencapai kecanggihannya yang tertinggi pada kurun ke-16.
Kurun ini dihiasi oleh kehadiran sosok ilmu gergasi seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri yang telah membentuk watak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Sebagai contoh, Nuruddin al-Raniri pernah membahaskan teori kosmologi dalam karyanya Hill al-Zill tentang atom dan lain-lain, tiga kurun sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa sains dan ilmu (Michael Gordon, Scientific Babel: The Language of Science from the Fall of Latin to the Rise of English, 2017).
Persoalannya, bagaimanakah sesebuah bahasa itu dapat dikatakan sebagai bahasa ilmu?
Menurut Prof al-Attas lagi, sesebuah bahasa itu boleh digunakan dalam dua cara gaya: prosa (prose) dan puisi (poem).
Puisi adalah penggunaan yang mencerminkan hati dan perasaan, manakala prosa mencerminkan akal dan fikiran.
Tentunya, cerminan akal fikiran itu adalah lebih canggih berbanding luahan hati perasaan. Ini kerana luahan hati tidak memerlukan renungan mendalam.
Tetapi menzahirkan buah fikiran memerlukan seseorang untuk menyusun jalur fikirannya, memilih perkataan yang tepat dan menyampaikan dengan tertib.
Jika puisi bertujuan menggerakkan perasaan, prosa bertujuan membawa makna yang jelas dan mencerahkan pemikiran.
Di sebalik itu, terdapat juga pemikir-pemikir yang mampu menggabungkan kedua-duanya seperti yang diperagakan dalam Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri dan Rangkaian Rubaiyat terjemahan Prof al-Attas. Kedua-duanya contoh puisi yang mengandungi makna yang tinggi dan canggih.
Bertitik-tolak daripada penjelasan ini, dapatlah kita rumuskan bahawa sesebuah bahasa itu dikatakan memenuhi ciri-ciri bahasa ilmu apabila ia memiliki daya untuk mengandungi, menjelaskan dan menyampaikan makna yang tinggi.
Persoalan kedua, jadi, ada apa dengan bahasa ilmu? Mengapa perlu kita memberi perhatian kepada kewibawaan ilmiah sesebuah bahasa?
Bahasa jiwa bangsa, kata pepatah. Bukan sedikit nama besar dalam bidang bahasa yang memperakui hakikat ini.
Toshihiko Izutsu, Paul Ricour dan Za’ba, semuanya maklum benar bahawa bahasalah yang mencerminkan jiwa dan jati diri sesebuah bangsa.
Justeru itu, jiwa bangsa Melayu tersemat dalam bahasa Melayu. Maka, memajukan bahasa Melayu bererti memajukan jiwa dan identiti bangsa ini.
Persoalan ketiga, mengapakah persoalan pemajuan bahasa ini perlu menjadi isu?
Baru-baru ini, dalam satu temu bual yang dihoskan Harith Iskander, Dr Ali Tawfik al-Attas, bekas Pengarah IKIM, meluahkan sebuah permasalahan yang beliau telah bergulat dengannya selama beberapa dekad, iaitu kemasukan istilah-istilah asing daripada bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris, yang menggantikan istilah-istilah penting dalam bahasa Melayu sekali gus mengakibatkan kekeliruan dalam cara fikir rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.
Kekeliruan inilah yang menjadi punca salah faham yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Dan, salah faham tersebut pula membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan.
Dengan demikian, kita berbalik kepada kebijaksanaan Prof al-Attas yang memandang bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan.
Dengan bahasa inilah tanah ini diberi nama Tanah Melayu bukan untuk merujuk kepada pemilikannya oleh orang-orang Melayu semata-mata, tetapi juga oleh semua kaum yang bertutur dengan bahasa Melayu dan berbudaya dengannya.
Kesimpulannya, bahasa mampu memainkan dua peranan. Pertama, ia berperanan sebagai saluran perpaduan.
Kedua, ia mampu menjadi sumbu yang mencerahkan dan memperkasa cara fikir sesebuah bangsa.
Oleh yang demikian, pementasan bahasa Melayu di perhimpunan antarabangsa ini adalah satu pencapaian yang memang layak dibanggakan.
Dan, moga-moga ia membuka lembaran baharu untuk perkembangan bahasa ibunda yang tercinta ini.

* Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ialah Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Bahasa Melayu #pentas global #Tuan Ibrahim Tuan Man #UNFCCC COP-26
;