Gelombang keempat COVID-19: Parlimen perlu bersidang bahas strategi terbaik - Kit Siang
Astro Awani
April 16, 2021 18:03 MYT
April 16, 2021 18:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang gesa Parlimen bersidang untuk membahaskan strategi terbaik susulan risiko gelombang keempat COVID-19.
Katanya, Malaysia tidak sepatutnya terus melakukan kesilapan dalam memerangi wabak ini dengan prestasi terburuk.
"Sebulan yang lepas, saya telah cadangkan kepada Kabinet untuk mencari jawapan kepada dua permasalahan -- mengapa Malaysia berhadapan dengan gelombang penularan COVI-19 terpanjang di dunia dan bagaimana untuk menjayakan program vaksinasi COVID-19 menjelang sambutan Hari Malaysia.
"Namun perkara ini tidak diendahkan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kegagalan untuk mengawal penularan gelombang ketiga wabak COVID-19 dengan menurunkan kadar peningkatan harian ke julat dua angka seperti pada bulan Ogos tahun lepas dan berdepan risiko gelombang keempat membuktikan kegagalan strategi ketika ini.
Kit Siang turut mendakwa Proklamasi Darurat dan penggantungan sidang Parlimen yang dilakukan bukanlah satu tindakan yang dibuat berasaskan sains, tetapi berasaskan politik, kononnya untuk melawan wabak COVID-19 dalam negara kita.