Gelombang kedua banjir: JPBM kerah lebih 24,000 anggota, pegawai

Bernama
Disember 11, 2024 19:45 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) memotong riben simbolik penyerahan jentera pada Majlis Taklimat Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengerah seramai 13,556 anggota dan pegawai dibantu 2,147 pegawai bomba bantuan serta 8,421 ahli pasukan bomba sukarela daripada 369 pasukan di seluruh negara bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang melanda negara.

Ringkasan AI
  • JPBM mengerahkan lebih 24,000 anggota termasuk pasukan bomba sukarela dan membekukan cuti 100% sejak 1 Disember untuk menghadapi gelombang kedua banjir.
  • Dari 5 Nov hingga 10 Dis, JPBM menangani 1,111 kes bencana dan 1,119 operasi pemindahan melibatkan 5,193 mangsa.
  • JBPM akan memperoleh 30 jentera pemadam api canggih tahun depan melalui kerjasama diplomatik Malaysia-China, dengan nilai tambahan RM60 juta daripada China.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata pasukan penyelamat sudah pun berada di lapangan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembekuan cuti 100 peratus juga telah dikuatkuasakan bermula 1 Dis lepas melibatkan pegawai dan anggota JBPM negeri dan yang terlibat operasi Monsun Timur Laut (MTL).
“Seramai 82,000 anggota daripada pelbagai agensi sudah bersedia untuk gelombang kedua,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Kesiapsiagaan MTL di Balai Bomba Hang Tuah hari ini.
Nga berkata bagi tempoh 5 Nov hingga 10 Dis lepas, JPBM telah menerima sebanyak 1,111 panggilan kes penyelamatan berhubung kejadian bencana alam di seluruh negara selain 1,119 operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh JBPM yang melibatkan seramai 5,193 mangsa.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata JBPM dijangka memperoleh 30 jentera pemadam api baharu paling canggih bermula tahun hadapan dan perolehan aset itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan China.
“Saya nampak ada jentera bomba yang perlu baik pulih yang besar selain kenderaan yang sudah digunakan sejak sekian lama dan kita perlukan RM30 juta untuk membaik pulih.
“Tetapi kita ada (peruntukan) RM18 juta sahaja, memang tidak cukup, namun dengan hubungan diplomatik yang berjaya diterokai oleh yang berhormat PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah berjaya memujuk China.
“(Kerajaan) China cakap untuk peruntukan itu (RM18 juta) mereka akan bagi kita RM60 juta (nilai jentera) atas dasar hubungan diplomatik antara dua negara,” katanya.
Nga berkata sebelum ini, Belanjawan 2025 meluluskan perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.
-- BERNAMA
#KPKT #gelombang kedua banjir #monsun timur laut #Nga Kor Ming
;