'Gelombang kedua banjir besar boleh berlaku'
Sinar Harian
Disember 24, 2022 09:45 MYT
Disember 24, 2022 09:45 MYT
SHAH ALAM: Pakar tidak menolak kemungkinan akan berlaku gelombang kedua banjir besar di seluruh negara ketika ini khususnya membabitkan kawasan kerap dilanda bencana itu.
Menurut Pakar Hidrologi dan Banjir Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Edlic Sathiamurthy, ia berdasarkan kajian tentang sejarah lepas yang menyaksikan negara pernah menghadapi dua kali gelombang tersebut.
Ujar beliau, sekiranya berlaku, situasi tempat yang dilanda bencana berkenaan akan lebih kritikal.
“Kadang-kadang, gelombang kedua itu boleh jadi lebih buruk jika jaraknya dengan gelombang pertama hampir, sebab pada waktu tersebut, paras air di sungai masih tinggi dan belum kembali ke tahap yang normal.
“Pada ketika itu juga, keadaan tanah dan empangan masih tepu dengan kuantiti air yang ditampung gelombang pertama.
“Jadi, tidak dapat menolak kemungkinan tentang berlakunya gelombang kedua nanti,” katanya dalam Program Sinar Live bertajuk ‘Banjir: Kenapa Macam tak bersedia?’ yang dihoskan Fahiz Ariff pada Jumaat.
Turut sama bergandingan sebagai panelis iaitu mangsa banjir Terengganu, Muhammad Syazli Sulaiman.
Sementara itu, Edlic menambah, kerajaan disarankan untuk menghasilkan satu aplikasi memaparkan informasi mengenai banjir dengan lebih terperinci yang boleh dicapai secara atas talian bagi memastikan orang ramai dapat bersiap sedia.
Jelas beliau, informasi tersebut merangkumkan kombinasi maklumat mengenai cuaca, paras air sungai semasa dan petunjuk tentang mana-mana jalan yang berisiko dilimpahi air ketika banjir.
“Contohnya, apabila saya gunakan aplikasi tersebut dan masukkan koordinat kediaman saya, saya boleh dapat mengenai maklumatnya sekali gus seperti keadaan hujan semasa, adakah ia akan berterusan, maklumat tentang paras air sungai di stesen berdekatan dan jangkaan banjir.
“Juga, maklumat lain seperti jalan mana yang berpotensi untuk dilimpahi air jika berlakunya banjir tersebut,” ujarnya.
Ulas Edlic, perkara tersebut sekali gus turut memudahkan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam hal ehwal pengurusan banjir untuk membuat keputusan tepat bagi berhadapan dengan bencana tersebut. -Sinar Harian