Gelembung Perjalanan: Sabah pertimbang bawa pelancong dari Singapura

Ruzaini Zulkepli
Mac 31, 2021 16:43 MYT
Aktiviti gelembung perjalanan (travel bubble) mampu meningkatkan impak dan potensi pelancongan di negeri ini.
KOTA BELUD: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk pelancong dari Singapura menerusi pendekatan gelembung perjalanan sekurang-kurang selepas Hari Raya Aidil Fitri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, keputusan itu masih lagi di peringkat perbincangan dan akan diputuskan jemaah menteri.
Malah, katanya, perbincangan mengenai perkara itu sedang berjalan dan kementeriannya juga akan memperhalusi kaedah terbaik bersama pihak berkepentingan.
"Kita masih menunggu keputusan kerajaan negeri, perbincangan telah dijalankan bersama-sama dengan pihak Sutera Mantanani untuk membawa satu kaedah perjalanan yang selamat secara berasingan dari Singapura terus ke Kota Kinabalu dan ke Pulau Mantanani.
"Perundingan sedang berjalan, saya di pihak kementerian tengah memperhalusi dengan pemegang taruh.
"Kalau boleh kita perketatkan dan mengikut apa juga prosedur operasi standard (SOP) dan selepas itu kita akan bincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan pihak kementerian luar, di Singapura nanti. Kita akan berbincang.... kemungkinan (pelaksanaan) selepas hari raya nanti," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pelancaran Premium Chalets di Sutera@Mantanani anjuran Sutera Harbour Resort, Pulau Mantanani, Kota Belud, pada Rabu.
Hadir sama Ketua Pengarah Eksekutif Sutera Harbour Resort, Gilbert Ee.
Terdahulu, sebanyak 70 buah chalet dibuka di resort berkenaan dengan menempatkan kira-kira 50 orang kakitangan.
Aktiviti gelembung perjalanan (travel bubble) mampu meningkatkan impak dan potensi pelancongan di negeri ini.
Gelembung Perjalanan | Sabah cadang bawa masuk pelancong Singapura
#gelembung perjalanan #Singapura #Kerajaan Sabah #pelancong Singapura #Datuk Jafry Ariffin #Pulau Mantanani #Sutera Mantanani
;