Gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia perlu disegerakan - Irmohizam
Fareez Azman
Februari 8, 2021 17:15 MYT
Februari 8, 2021 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik dan Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) antara Malaysia dan Indonesia perlu disegerakan dalam membantu perniagaan dan sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) kembali pulih.
Menurut Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, usaha itu dijangka dapat mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh pemain industri di kedua-dua negara.
"Saya menyokong sepenuhnya pelaksanaan RGL/TCA. Hal ini akan membantu industri acara perniagaan (BE) dan MICE kembali aktif serta menghidupkan kembali perkhidmatan kami, sekali gus menyenangkan semua pihak.
"Saya juga ingin mencadangkan agar RGL/TCA ini disegerakan terutamanya untuk industri BE dan industri MICE di Malaysia.
"Kita dapat lihat bahawa industri-industri ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, dan jika dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin akan menyumbang untuk memantapkan kembali ekonomi di Malaysia," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Ujarnya, pengawalan ketat dari sudut prosedur operasi standard (SOP) perlu diperinci bagi memastikan zon yang terlibat terus menjadi zon hijau dan selamat buat para pengunjung.
Tambah Irmohizam lagi, sehingga Disember 2020, sejumlah RM2.25 billion kerugian dicatatkan oleh Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) ekoran pandemik COVID-19.
Manakala sektor MICE di Indonesia turut mencatatkan kerugian sehingga RM2.0 bilion.
Justeru, kelangsungan BE dan MICE boleh disemarakkan di skala antarabangsa sekiranya usaha itu dapat melibatkan beberapa negara jiran antaranya Brunei, Singapura, Thailand dan negara rantau Asia Pasifik.
#Kuala Lumpur
#SOP
#ekonomi
#operasi
#Malaysia
#COVID-19
#Indonesia
#Thailand
#Asia
#Brunei
#Singapura
#pameran
#perniagaan
#gelembung perjalanan