Gelembung pelancongan Langkawi: Penilaian lanjut perlu dilakukan sekiranya pelancong positif COVID-19

Abd Hadi Che Awang
September 16, 2021 17:39 MYT
Sanusi menyaksikan ketibaan penerbangan pertama yang membawa pelancong masuk ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada Khamis. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Individu yang dikesan positif COVID-19 sebaik sahaja tiba di Pulau Langkawi akan dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi proses penilaian lanjut dan akan diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 10 hari.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan, tempoh kuarantin itu boleh dilakukan di hotel ataupun di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM).
Menurutnya, sekiranya keadaan pesakit COVID-19 bertambah teruk, mereka akan dibawa bagi menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Sanusi turut memaklumkan bahawa jumlah anggota pasukan keselamatan serta kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah mencukupi khususnya bagi memantau kemasukan pelancong di pulau peranginan itu.
"Ada prosedur dan SOP yang (sudah) disusun Kementerian Kesihatan kalau didapati positif ini kita ada CAC, kita kan hantar untuk assessment.
“Kalau dia stage 1 atau 2, kita ada Pusat Kurantin, dia boleh pilih kuarantin di hotel mana dia nak buat atau dia boleh ke LISRAM, dia kena tinggal 10 hari baru boleh balik, semua itu dah disusun oleh KKM dalam team ini, task force diketuai oleh Pegawai Daerah Langkawi, kita sudah susun semua stage itu mengambil kira semua kemungkinan termasuk ada yang terlepas," katanya.
[SIDANG MEDIA] Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan penerbangan pertama yang membawa pelancong masuk ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Sanusi turut mengharapkan agar pelancong yang masuk ke Pulau Langkawi dapat menjaga kebersihan agar tidak berlaku sebarang kes membabitkan lokasi tumpuan menjadi kotor seperti yang berlaku di beberapa negeri lain sebelum ini.
Tambahnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelancong dan pemain industri juga perlu menjadi keutamaan agar Langkawi menjadi contoh terbaik sebelum pembukaan lokasi pelancongan yang lain.
#Langkawi #gelembung pelancongan #Muhammad Sanusi Md Nor #MB Kedah
;