Gelembung pelancongan Langkawi diteruskan dengan SOP dikemas kini
Hakim Rahman
Februari 17, 2022 10:50 MYT
Februari 17, 2022 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan melanjutkan projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) sehingga sempadan negara dibuka dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan berkata, projek rintis tersebut telah menguji kesediaan dan kesiapsiagaan ekosistem pelancongan negara untuk menerima kedatangan pelancong asing ke Malaysia secara berperingkat dan selamat.
"Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bil.2/2022 pada 8 Februari 2022 telah bersetuju bahawa Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, SOP kemasukan pengembara asing ke Malaysia melalui LITB telah diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah diwartakan pada 16 Februari 2022.
Berikut merupakan SOP yang telah dikemas kini:
i. Pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima jika ujian RT-PCR pada hari keempat negatif ATAU RTK-Ag (Professional) pada hari ke-5 negatif;
ii. Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh turut serta melancong bersama-sama ibu bapa/penjaga masing masing yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi;
iii. Kanak-kanak di bawah umur dua (2) tahun TIDAK PERLU membuat saringan COVID-19;
iv. Setiap pelancong asing diwajibkan untuk membeli polisi insurans bernilai AS$50,000 (COVID-19 dan pengembaraan). Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dikecualikan daripada syarat ini;
dan
v. Penerbangan masuk melalui KLIA2 dibenarkan (bermula 22 Februari 2022).
Sementara itu, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, SOP yang telah dikemas kini itu akan menjadi penanda aras kepada SOP pembukaan sempadan kelak.
"Saya berharap keputusan ini akan disambut baik oleh pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini," katanya.