Gelaran 'kafir harbi' keterlaluan - Ibrahim Ali
Hafiz Marzukhi
Jun 25, 2016 18:38 MYT
Jun 25, 2016 18:38 MYT
Gelaran 'kafir harbi' yang dilabelkan kepada DAP agak keterlaluan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.
"Walaupun banyak perkara yang kami tidak setuju dengan DAP, tetapi kami merasakan tidak wajar mereka dilabel sebagai kafir harbi," kata Ibrahim.
Tambahnya, kenyataan itu wajar dibetulkan agar ia tidak memberi tanggapan yang buruk terhadap Islam.
"Kita tidak mahu imej buruk terhadap Islam apabila kenyataan sebegini dikeluarkan," jelas Ibrahim.
Pada Khamis, Mufti Pahang Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.
Menurutnya, DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.
“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka," ujar Abdul Rahman seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.