Gelaran doktor untuk pengesyoran kosmetik dilarang - Dr Noor Azmi

Firdaus Azil
Julai 25, 2022 12:37 MYT
Arahan itu adalah berdasarkan Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penggunaan gelaran profesional seperti doktor untuk pengesyoran kosmetik adalah tidak dibenarkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, arahan itu adalah berdasarkan Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Jelasnya lagi, penggunaan gelaran tersebut, secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa individu tersebut telah memberi nasihat profesional dan pengesahan kepada kosmetik terlibat.
“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menerima sebanyak 86 aduan mengenai penjualan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian sepanjang tahun 2021 sehingga Jun 2022.
“Berdasarkan pengesahan aduan yang dijalankan, sebanyak 444 premis telah diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM4,338,629.
“Sekiranya penjualan melibatkan orang profesional seperti doktor, maklumat akan disalurkan kepada badan profesional yang mengawal selia amalan doktor untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN – Jerai) yang ingin mengetahui tindakan pemantauan telah dibuat bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, tindakan regulatori seperti amaran iklan dan pembatalan notifikasi kosmetik akan diambil sekiranya kosmetik didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan, atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik, seperti yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut.
Berdasarkan statistik dari tahun 2021 hingga bulan Jun 2022, beliau berkata, 1,775 iklan kosmetik bernotifikasi telah dipantau.
Daripada jumlah tersebut, jelasnya lagi, sejumlah 283 amaran iklan telah dikeluarkan kepada syarikat pemegang notifikasi kosmetik kerana membuat tuntutan yang tidak mematuhi garis panduan kosmetik.
Manakala 104 kosmetik telah dibatalkan status notifikasi kerana membuat tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik.
“Selain itu, pihak KKM sentiasa juga menjalankan tindakan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan ke atas premispremis atau penjual termasuk di media sosial bagi mengekang penjualan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.
“Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, produk kosmetik atau ubat-ubatan yang mengandungi bahan berbahaya boleh ditarik balik mengikut tahap tertentu.
Sekiranya ia berada pada tahap satu, maka produk tersebut akan ditarik dalam masa 24 jam.
Jika ia hanya mendatangkan risiko kecil atau produk itu tidak menepati standard kualiti yang ditetapkan, Dr Noor Azmi berkata, ia akan ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam, iaitu tahap dua.
Tahap tiga pula, jelasnya lagi, jika ia mempunyai masalah lain, dan akan ditarik dalam tempoh 30 hari.
#Dewan Rakyat #Dr Noor Azmi Ghazali #pengesyoran kosmetik #gelaran doktor
;