Gelaran Dato' Sri palsu: Polis rakam keterangan beberapa saksi - KP Pahang
Hasimi Muhamad
Julai 31, 2024 15:25 MYT
Julai 31, 2024 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan menggunakan gelaran 'Dato' Sri' palsu dari Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan kes tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang.
“Saya sahkan ada terima laporan kes ini dan sedang merakam keterangan beberapa saksi,” katanya memetik laporan Sinar Harian pada Rabu.
Yahaya berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sumber rapat dengan Istana Pahang memaklumkan satu laporan polis telah dibuat pada 26 Julai lalu.
Jelas beliau, semakan mendapati individu terbabit yang merupakan ahli lembaga pengarah kepada sebuah syarikat masih belum dikurniakan secara sah Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
#Gelaran Datuk Seri palsu
#Polis Pahang
#siasatan
#Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
#Yahaya Othman