Gelang persahabatan Lara Khadijah buat Dr Noor Hisham... lambang penghargaan atas pengorbanan

Isabelle Leong
April 17, 2020 19:35 MYT
Dengan sepucuk surat dan seutas gelang tangan 'loom band', persahabatan terjalin antara Lara Khadijah McAfee dan Dr Noor Hisham.
Nama Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia sekarang ini, malah di arena antarabangsa juga sudah ada yang menyebut tentang kewibawaannya.
Pengorbanan dan usaha ditonjolkan Ketua Pengarah Kesihatan itu dan pasukannya dalam membantu negara memerangi penularan wabak COVID-19 tidak perlu lagi dipertikaikan.
Hampir saban hari, ada sahaja mesej penghargaan disampaikan kepada beliau khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, sesuatu yang mencuri tumpuan baru-baru ini adalah apabila beliau menerima sepucuk surat dan gelang persahabatan 'loom band' kiriman seorang kanak-kanak berusia 9 tahun.
Lara Khadijah Mcafee yang berasal dari Kuala Terengganu secara tiba-tiba menjadi tumpuan selepas surat kirimannya yang didedikasikan kepada kerja keras doktor tersebut menjadi tular dalam media sosial.
“Saya membuat loom band untuk rakan-rakan saya sebagai tanda persahabatan.
“Saya telah membuat seutas loom band untuk anda sebagai tanda terima kasih atas segala kerja keras yang anda lakukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sepanjang wabak COVID-19 ini,” kata murid darjah tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu itu.
Yang lebih menyentuh hati adalah bait-bait akhir surat kiriman Lara yang merujuk Dr Noor Hisham sebagai rakan baharunya.
Usaha dan ingatan anak kecil itu ternyata tidak sia-sia apabila Dr Noor Hisham membalas suratnya hampir sebulan kemudian.
“Terima kasih kerana menulis surat dan menghasilkan rantai tangan ini.
“Cucu perempuan saya memakai rantai tangan itu dan dia sangat suka padanya,” balas Dr Noor Hisham.
Selain berterima kasih kepada anak kecil tersebut, Dr Noor Hisham yang terkenal dengan sikap rendah diri itu berkata, usaha yang dilakukan sepanjang perang membendung wabak COVID-19 merupakan usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.
“Saya tidak melakukannya sendiri. Saya bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk membantu negara kita.
“Rakyat Malaysia seperti anda juga memainkan peranan dengan duduk di rumah.
“Jadi teruskan usaha yang baik ini dan bersama-sama, kita dapat menentang virus ini,” katanya.
Beliau juga menitipkan nasihat kepada Lara supaya belajar bersungguh-sunggu supaya dapat berbakti untuk negara kelak.
“Suatu hari nanti, akan tiba giliran anda untuk membantu Malaysia. Ikut impian anda dan berusaha bersungguh-sungguh,” tambahnya.
Apa yang menyentuh hati warga maya adalah apabila Dr Noor Hisham mengakhiri surat itu dengan merujuk dirinya sebagai 'your new friend' ataupun 'kawan baharu anda'.
#doktor terbaik #Dr Noor Hisham Abdullah #Ketua Pengarah Kesihatan #Kuala Terengganu #Lara Khadijah McAfee #loom band #rantai tangan #surat
;