Gelandangan ditemui mati dengan kecederaan kepala

Hakim Rahman
Julai 20, 2015 21:42 MYT
Mangsa yang dikenali sebagai Phua Chin Chai, 66 tahun, ditemui dengan kesan kecederaan di sebelah kiri kepala. - Gambar hiasan
Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan cedera di kepala di hadapan sebuah kedai elektronik, Jalan Landak, berdekatan Dang Wangi di sini pagi tadi.
Mangsa yang dipercayai seorang gelandangan ditemui mati oleh orang ramai kira-kira jam 8.40 pagi dalam keadaan terbaring di hadapan sebuah kedai.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, mangsa berusia 66 tahun ditemui dengan kesan kecederaan di sebelah kiri kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesan kecederaan mangsa selari dengan keadaan bucu dinding di tempat kejadian.
"Siasatan polis juga menemui paip pecah yang disyaki tercucuk di kepala mangsa.
"Mangsa dipercayai gemar meminum alkohol dan sering tidur di tepi bangunan," katanya.
Zainuddin berkata, barangan peribadi mangsa masih berada bersama mangsa.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Phua Chin Chai beralamat terakhir di Brunei Selatan, Pudu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
#Dang Wangi #gelandangan #Jalan Landak #mati mengejut
;