Gelandangan bekerja diminta lapor jika tidak terima skim gaji minimum
Astro Awani
Julai 7, 2014 17:35 MYT
Julai 7, 2014 17:35 MYT
Golongan gelandangan yang mempunyai pekerjaan diminta membuat aduan kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui talian Nur 15999 seandainya tidak menikmati skim gaji minimum.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya juga tidak dapat membuat sebarang tindakan terhadap isu berkenaan selama ini kerana tiada sebarang aduan rasmi yang diperoleh.
"Kalau ada perkara sebegitu maklumkan kepada kami, jangan simpan sendiri, kerana kerajaan telah menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimun," katanya.
Pelaksanaan dasar gaji minimum diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 April 2012. Gaji minimum di Semenanjung ialah RM900 sebulan dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
Sebelum ini, Rohani memberitahu, kempen basmi gelandangan dan pengemis yang dimulakan pada 26 Jun lepas di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diharapkan dapat memastikan bandar raya sifar gelandangan.
Rohani berkata, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang mewujudkan Anjung Singgah membuktikan bahawa statistik dari 2011 hingga 2014 menunjukkan sebanyak 735 orang gelandangan yang mendaftar memperoleh pekerjaan.
Jelasnya, peluang pekerjaan juga terbuka kepada penghuni di Desa Bina Diri (DBD) untuk bekerja sendiri melalui penjualan hasil kraftangan yang memberi keuntungan selain sebanyak 40,000 peluang pekerjaan di pasar raya besar menunggu golongan tersebut.