Gelak tawa, air mata iringi Reunion Alumni English College selepas 44 tahun
Harits Asyraf Hasnan
September 19, 2016 10:19 MYT
September 19, 2016 10:19 MYT
Tatkala meniti usia emas dan setelah merentasi tempoh 44 tahun tanpa bertemu rakan seperjuangan yang suatu ketika dahulu sama-sama dalam alam persekolahan, tentunya majlis pertemuan semula atau reunion menjadi penambat silaturahim.
Selama lebih empat dekad, jelas sekali ia suatu jangka masa yang panjang untuk terus berpegang kepada erti sebuah persahabatan.
Baru-baru ini di ibu negara, sebahagian Alumni English College (EC) telah berkumpul semula sejak kali terakhir bersama sebagai angkatan pelajar pada tahun 1972.
Dalam 'perhimpunan yang diiringi gelak tawa dan air mata, mereka jelas sekali teruja dapat melihat kembali wajah masing-masing setelah meninggalkan alam persekolahan sesi 1968 hingga 1972.
English College atau panggilan singkatnya 'EC', merujuk kepada institusi sekolah menengah yang diasaskan sejak tahun 1914 di Johor Bahru.
Pada tahun 1960, susulan penghujung pemerintahan British di Malaya, namanya telah ditukar menjadi Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), yang dikenali hingga kini.
Menyimpan sejarah unggul selama lebih 100 tahun, EC atau MSAB mencatatkan rekod pencapaian membanggakan dari aspek akademik, sukan dan sahsiah, serta menghasilkan ramai tokoh ternama dalam pelbagai bidang.
"Tingkatan 1 hingga tingkatan 5, kalau ikut umur 13 tahun hingga 17 tahun dan itu adalah zaman yang boleh saya katakan tahun-tahun yang sangat berharga.
"Kita baru nak membesar atau kata lain mengenal erti hidup," kata Laksamana Pertama (B) Datuk Ir. Ahmad Murad Omar bila mengenang semula kisah persekolahannya.
Pertemuan semula alumni ini amat bermakna terutamanya masing-masing sedang meniti usia emas.
Bagi pesara kerajaan yang kini merupakan pengarah urusan di sebuah syarikat swasta, Michael K. M. Loh, kenangan bersama rakan-rakan ketika bersama menyertai kadet amat menyentuh hatinya.
"Ketika zaman sekolah dahulu, kita masih lagi ingat siapa kita apabila kita bermain bersama, buat kerja bersama.
"Anda antara kami yang menyertai sukan dan saya pula sertai kor kadet. Montaj tadi yang tunjuk gambar kadet amat menyentuh hati saya," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Pertemuan Alumni EC 1968-1972 di ibu negara.
Mereka masing-masing terputus hubungan selepas tamat persekolahan, lantas telah membawa haluan sendiri dalam membina keluarga, mengejar cita-cita serta melayari dunia kerjaya.
Usaha menghubungkan rangkaian persahabatan akhirnya membuahkan hasil bagi alumni ini selepas 44 tahun, apatah lagi ketika masing-masing sedang meniti usia emas.
Variasi latar bangsa, agama dan status sosial bukanlah penghalang bagi usaha penyatuan semula mereka. Bagi mereka ini, tiada sempadan ras, warna kulit atau etnik sebaliknya identiti mereka hanya satu, EC.
Mereka sependapat bahawa sistem pendidikan pada masa itu membudayakan semangat merentas identiti etnik, lantas antara mereka tidak wujud rasa terasing atau berbeza.
Malah, dalam pertemuan yang menghidupkan semula memori berharga itu, mereka dilihat begitu akrab seolah-olah masih berada di bangku sekolah.
#Laksamana Pertama (B) Datuk Ir. Ahmad Murad Omar
#Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB)
#Michael K. M. Loh
#Reunion Alumni English College (EC)