Gejala vape dalam kalangan pelajar sekolah harus dibanteras - Lee Lam Thye

Bernama
Ogos 4, 2024 11:00 MYT
Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menggesa agar kerajaan menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dengan kadar segera. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menggesa agar kerajaan menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dengan kadar segera.

Ringkasan AI
  • Tan Sri Lee Lam Thye menggesa kerajaan menangani isu vape dalam kalangan pelajar sekolah dengan segera.
  • Lee mencadangkan kempen kesedaran, tindakan tegas di sekolah, dan melibatkan ibu bapa serta pempengaruh media sosial untuk memerangi penggunaan vape.
  • Laporan pelajar yang sakit akibat vape menunjukkan risiko kesihatan yang serius, termasuk ketagihan nikotin dan kerosakan paru-paru.

Lee berkata adalah penting untuk pihak sekolah di seluruh negara mengambil inisiatif untuk memerangi vape melalui kempen kesedaran dan tindakan tegas.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini yang terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.
"Dalam kejadian baru-baru ini, enam pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor didapati muntah selepas berkongsi menggunakan vape. Seorang lagi pelajar dilihat dalam keadaan khayal dengan mata merah dan tidak dapat berdiri atau berjalan dengan betul," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Lee berkata vape telah disahkan boleh menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, terutamanya kepada badan yang masih muda, termasuk ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru dan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya, serta membawa kepada penggunaan produk tembakau.
Beliau menggesa pihak berkuasa sekolah dan pelajar untuk menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk memerangi vape, menekankan keberkesanan program pendidikan rakan sebaya, dengan pelajar yang telah berhenti menghisap vape berkongsi pengalaman mereka.
Lee turut mencadangkan penggunaan selebriti dan pempengaruh media sosial dalam memperkuatkan untuk menguatkan mesej antivape.
Beliau berkata adalah penting untuk melibatkan ibu bapa dan penjaga dalam sesi penerangan untuk membentuk sikap dan tingkah laku kanak-kanak terhadap vape.
"Ia memerlukan usaha kolektif daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar untuk memerangi vape dan memastikan masa depan yang lebih sihat untuk generasi akan datang," katanya.
Sementara itu dilaporkan polis Terengganu sedang menunggu laporan perubatan terhadap seorang pelajar sekolah menengah di Kemaman, yang didapati tidak sedarkan diri selepas menggunakan rokok elektronik bulan lepas.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata laporan itu penting bagi menentukan tindakan selanjutnya berkaitan perkara itu.
-- BERNAMA
#gejala vape #pelajar sekolah #Lee Lam Thye #risiko kesihatan