Gejala rasuah wajar dibanteras di semua peringkat secara menyeluruh di Selangor - Mohd Najwan

Kenyataan Media
Ogos 6, 2021 21:53 MYT
Mohd Najwan berharap, berharap pihak berkuasa turut memantau serta bertindak secara menyeluruh termasuk di sektor membabitkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri. - Gambar fail
Saya menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di atas keprihatinan serta kebimbangan yang dizahirkan oleh baginda terkait peningkatan membabitkan kes-kes rasuah di negeri Selangor.
Sebagai salah seorang Ahli Dewan Negeri Selangor dan juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri Selangor, saya mendukung gesaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar gejala rasuah di negeri Selangor dibanteras sepenuhnya.
Selain dari siasatan serta tindakan membabitkan kes-kes rasuah dalam sektor perkhidmatan awam negeri, saya juga berharap pihak berkuasa memantau serta bertindak secara menyeluruh termasuk di sektor membabitkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Saya juga mengalu-alukan komitmen serius dan tegas oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari dalam memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang dinyatakan baru-baru ini.
Sebagai sebuah negeri yang mendukung prinsip tatakelola yang baik dan berintegriti, Selangor sewajarnya mendepani usaha membanteras amalan rasuah dan salahguna kuasa secara menyeluruh dan proaktif.
MOHD NAJWAN HALIMI
Ahli Dewan Negeri Selangor
Merangkap Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan Negeri Selangor
#Selangor #gejala rasuah #banteras rasuah #Sultan Selangor #perkhidmatan awam #syarikat berkaitan kerajaan negeri
;