Gejala penagihan dadah satu masalah kesihatan kronik - KJ

Anthea Yap
Februari 13, 2016 09:31 MYT
KHAIRY: Kita akui penagihan dadah adalah penyakit yang perlu diberikan rawatan.
Masalah penagihan dadah di negara dilihat tidak berpenghujung, malah ia kini menjadi masalah kesihatan yang kronik.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat beberapa pendekatan yang dilaksanakan perlu dipertingkatkan bagi membendung gejala perosak bangsa ini.
"Kita sekarang ini menerima hakikat bahawa penagih dadah adalah masalah kesihatan yang perlu rawatan dan bukan perlu hukuman.
"Kalau dulu pandangan dan falsafah kita berkenaan dengan polisi dadah adalah kita hukum seperti banduan jenayah yang lain.
"Sekarang ini lebih kepada rawatan sebab kita akui penagihan dadah adalah penyakit yang perlu diberikan rawatan dan sebab itu kita ubah pusat-pusat serenti kepada pusat penjagaan dan rawatan," katanya yang ditemui selepas menghadiri Program Jalan Amal yang dianjurkan Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) di ibu negara pada Sabtu.
Beliau mengulas berhubung statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bahawa 20,289 kes penagih dadah baru dikesan pada 2015, berbanding 13,610 kes pada 2014 menyaksikan peningkatan 49.1 peratus.
Beliau juga mencadangkan beberapa program lain iaitu penguatkuasaan berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk polis dan AADK mencegah kegiatan itu.
Selain itu, program kesedaran mengenai bahayanya bahan dadah perlu dipertingkatkan kepada golongan muda bagi mengatasi golongan penagih baharu.
#Khairy Jamaluddin #masalah dadah di Malaysia #Menteri Belia dan Sukan