Gejala gengsterisme murid terkawal - Kamalanathan
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 30, 2017 14:09 MYT
Oktober 30, 2017 14:09 MYT
Gejala dan salah laku gengsterisme dalam kalangan murid sekolah masih berada dalam keadaan terkawal.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan berkata berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid, hanya 0.002 peratus murid direkodkan terlibat dalam salah laku tersebut antara 2014 hingga 13 Oktober 2017.
Tegasnya, walaupun jumlah itu masih rendah, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius perkara tersebut sekali gus akan mengatasinya sebaik mungkin.
"Jumlah murid yang direkodkan terlibat hanya 0.002 peratus pada tahun 2014; 0.001 peratus pada tahun 2015; 0.002 peratus pada tahun 2016 dan 0.002 peratus sehingga 13 Oktober 2017.
"Kementerian Pendidikan sentiasa memandang serius dan mengambil langkah proaktif dalam membendung gengsterisme melibatkan murid di sekolah. Kes-kes yang terlibat telah diambil tindakan sewajarnya, sama ada peringkat sekolah mahu pun mahkamah melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mujahid Yusof Rawa (BN-Partit Buntar) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah pelajar sekolah yang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti gengsterisme dari tahun 2010 hingga September 2017 dan apakah tindakan kerajaan untuk menanganinya.
Selain itu, Kamalanathan menambah, kementeriannya sentiasa serius menangani gejala gengsterisme dan buli termasuk buli siber melalui mekanisme pencegahan, penguatkuasaan peraturan sekolah, intervensi kepada mangsa dan kerjasama padu dengan semua pihak berkepentingan.
#Datuk Mujahid Yusof Rawa
#Datuk P Kamalanathan
#gengsterisme
#Kementeri Pendidikan
#murid
#sekolah
#Timbalan Menteri Pendidikan I