'Gejala buli perlu dianggap jenayah berat' - Bapa Zulfarhan

Astro Awani
Disember 12, 2021 10:00 MYT
Ibu dan bapa Allahyarham Zulfarhan Osman ketika ditemui di kediaman mereka pada Ahad. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Bukan hanya mendatangkan kecederaan buat mangsa, malah gejala buli turut mampu mengorbankan lebih ramai nyawa jika ia tidak dibendung dengan segera.
Perkara itu menjadi kebimbangan buat Zulkarnain Idros, bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman, yang terkorban susulan menjadi mangsa buli empat tahun lalu.
Jelasnya, gejala buli perlu dianggap sebagai jenayah berat yang boleh mengundang maut dan membawa kemudaratan kepada orang lain
Selain itu, kegiatan tersebut memberikan kesan emosi yang mendalam khususnya buat ibu bapa sepertinya, yang kehilangan anak ekoran menjadi mangsa korban buli.
“Kalau dari segi keluarga, kita tengok kalau anak itu, contohnya harapan keluarga, apabila mengalami kecederaan, kecacatan itu boleh jadi kekal lah sepanjang hidup dia.
"Kalau kata anak itu meninggal dunia contohnya seperti anak saya, yang menjadi harapan keluarga dan adik-adik lain, ia menjadi satu kerugian.
"Saya juga terganggu, adik-adik mahu jadikan abang sebagai idola juga tidak dapat,” katanya.
Jelas Zulkarnain, kes buli yang dilaporkan sejak kebelakangan ini disifatkan amat kritikal, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kecederaan fizikal.
BACA: "Saya maafkan tertuduh yang 'buat' anak saya" - Bapa Zulfarhan
BACA: 90 tekapan seterika wap sebabkan kematian, tetapi bukan niat membunuh - Hakim
Oleh itu, beliau memohon agar semua pihak menjadi lebih peka dalam menangani masalah tersebut, yang ketika ini dilihat seperti tiada penghujungnya.
Zulkarnain berpendapat, keprihatinan ibu bapa menjadi kunci utama dalam memastikan anak-anak diberikan kesedaran awal untuk tidak terbabit dalam gejala ini.
“Kalau kita tengok daripada sejarahnya, pakar berpendapat bahawa kes-kes buli ini, salah satunya daripadanya berpunca daripada keluarga.
"Ada keluarga yang porak-peranda, bergaduh suami isteri. Ibu bapa ini patut ambil berat. Contohnya anak saya pergi sekolah saya hantar, balik saya ambil. Jadi kita dapat beri tumpuan.
"Kita tahu anak berkawan dengan siapa mana dia pergi. Jadi kita dapat tahu. Dari situlah kita dapat cegah gejala buli ini,” katanya.
Isu Buli | Jadikan pemergian arwah Zulfarhan iktibar
Mengulas mengenai sebuah video tular yang memaparkan kes buli di sebuah institusi pendidikan di Perak, isterinya Hawa Osman berkata, dia terkilan mendapati pihak berkuasa sewenang-wenangnya membiarkan perkara ini terus berleluasa sekaligus menjadi penyakit sosial yang mengancam keselamatan awam.
“Saya memang marahlah sebab saya ingatkan kes Zulfarhan dan T Nhaveen yang terakhir. Tetapi apabila ada lagi, memang saya marah.
"Sepatutnya pihak warden mengambil inisiatif yang lebih dalam mengawal budak-budak ini. Lagi-lagi ketika waktu malam, mereka buat pemeriksaan mengejut (spotcheck) ke atas budak-budak ini,” katanya.
Kes Buli | Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan – Polis
Jelasnya, meskipun trend peningkatan kes dera dan buli ketika ini mempersoalkan nilai-nilai kemanusiaan serta norma kehidupan masyarakat di negara ini, namun, mereka tetap bersyukur terdapat segelintir pihak yang masih prihatin terhadap kejadian ini.
Mereka turut berharap orang ramai tidak takut untuk terus tampil membuat aduan berkenaan aktiviti keganasan yang berlaku di sekitar mereka.
#buli #Jenayah Berat #Zulfarhan Osman #Zulkarnain Idros
;