Gegar 'payung' nasi untuk peminat di Kelantan
Muhafandi Muhamad
Jun 27, 2021 09:34 MYT
Jun 27, 2021 09:34 MYT
TUMPAT: Selepas tular di media tempatan kisah seorang ibu tunggal menjual nasi dengan harga RM1.50, rangkaian Radio Astro, Gegar turut tidak ketinggalan melakukan kerja amal membelanjakan 100 bungkus nasi berlauk untuk peminatnya di Kelantan.
Menurut Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham, bagi menyumbang dan menghargai inisiatif baik penjual, Gegar Pagi "memayung" 100 bungkus nasi kepada pelanggan kedai nasi bungkus RM1.50, Siti Suhada Salleh, 34 tahun, yang berniaga nasi berlauk pagi di kampung Alor Tal, di sini.
"Pihak Gegar Pagi terpanggil untuk menelefon dan menemubual Siti Suhada pada hari Khamis lepas dan menurut Suhada, walaupun menjual dengan harga murah, dia masih memperoleh keuntungan," katanya kepada Astro AWANI.
"Gegar Pagi juga ingin berkongsi usaha Suhada menzahirkan semangat membantu orang ramai yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," tambahnya.
Menurut Raja Nadia lagi, pihaknya menyokong usaha Siti Suhada yang memahami kesusahan orang-orang kampung ketika PKP dengan tidak mengenakan harga yang tinggi nasi berlauk yang diniagakannya.
Sebelum ini media tempatan menyiarkan kisah seorang peniaga di Kampung Alor Tal di sini, menjual nasi berlauk pada harga serendah RM1.50 sebungkus yang mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat.
Nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan dan ayam goreng serta nasi lemak itu dijual oleh Siti Suhada sejak pelaksanaan PKP Penuh, awal bulan ini.