GEG pelengkap usaha cegah rakyat daripada bahaya rokok - Pakar kesihatan
Israr Khalid
Ogos 2, 2022 10:20 MYT
Ogos 2, 2022 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dilihat sebagai pelengkap kepada usaha selama berdekad melindungi rakyat daripada bahaya produk tembakau itu.
Pakar kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menegaskan, usaha membangkitkan kesedaran menerusi pendidikan dapat diperkuat dengan kewujudan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
“Sekarang ini kita jaga anak-anak kita sampai umur 18 tahun, tetapi apabila mereka melompat ke umur baharu, mereka bebas untuk buat apa-apa.
“Kita sudah buat (melalui) pendidikan lebih 30 tahun. Macam-macam kempen kita dah buat. Tetapi, ia kena dilengkapkan dengan peraturan undang-undang untuk kita sekat perkara ini (bahaya rokok),” katanya.
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang diusahakan sejak lebih sedekad lalu, pada masa ini, sedang dikupas oleh ahli Dewan Rakyat, dan persetujuan majoriti mereka diperlukan untuk pelaksanaannya demi menyelamatkan dua juta nyawa rakyat menjelang 2040.
Jika diluluskan, Malaysia bakal melakar sejarah dengan melahirkan Generasi Penamat melalui strategi Generational End Game (GEG) yang melarang individu yang lahir pada dan selepas 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.
Zainal Arifin berkata, negara ini tidak boleh membandingkan situasi dengan negara maju seperti New Zealand yang mahu memperkenalkan undang-undang larangan merokok yang lebih ringan daripada yang diajukan Malaysia, kerana kadar perokok mereka jauh lebih rendah.
New Zealand mempunyai kadar perokok sekitar 5 peratus sementara Malaysia mencatat angka lebih tinggi pada kadar lebih 20 peratus.
Maka, tambah Zainal Arifin, kerajaan Malaysia perlu lebih tegas supaya akhirnya matlamat untuk melindungi rakyat dapat dicapai dengan jayanya.
“Sekarang kita ingin perkenalkan undang-undang yang melindungi mereka hingga akhir hayat.
“Jadi, kita kena agresif sikit dari segi penguatkuasaan undang-undang. Dan pada masa sama, pendidikan kita tetap teruskan.”
Tonton temu bual penuh bersama Zainal Arifin dalam Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: