GEG: Bukan untuk menghukum tapi melindungi - Pengamal undang-undang
Israr Khalid
Ogos 1, 2022 05:15 MYT
Ogos 1, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bukan untuk digunakan bagi menghukum semata-mata, tetapi lebih kepada melindungi rakyat.
Tegas peguam bela dan peguam cara Azlinda Baroni, manusia perlu dipandu dengan undang-undang supaya tidak cenderung untuk melakukan perkara di luar batasan yang boleh merosakkan diri sendiri dan sekitarnya.
“Undang-undang itu mesti diadakan sebagai pagar, sempadan. Ada pintunya dan pagar sekelilingnya. Kerana, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
“Sifat manusia itu sekiranya dibiarkan berleluasa, tak ada undang-undang yang mengatur hidup dia, dia akan jadi bertambah bebas dan kreatif untuk mencipta masalah yang baharu,” katanya.
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 digubal bagi mewujudkan generasi 'bebas rokok'.
Pada 27 Julai lepas, RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, melarang individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, iaitu Generasi Penamat (GEG), merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.
Tonton temu bual penuh bersama Azlinda dalam Agenda AWANI bertajuk 'Realisasikan Generasi Penamat Rokok' dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: