'IN GEAR' kembali menemui peminat

Harris Hardy Hakim
Jun 7, 2014 21:49 MYT
'IN GEAR' kembali dengan kandungan baharu
'IN GEAR' sebuah rancangan terbitan Astro AWANI yang memaparkan perkembangan dunia automotif tempatan dan antarabangsa bakal kembali menemui peminat dalam musim ke-5.
Berbeza dengan musim-musim sebelum ini, 'IN GEAR' musim ke-5 muncul dengan format baru yang lebih menarik, padat dan bertenaga.
Penerbit dan Pengacara, Syed Farradino Omar menjelaskan 2 segmen baharu turut dimuatkan dalam musim ini bertujuan memberi informasi terkini industri permotoran kepada penonton.
"Bagi musim ke lima, pertama sekali perkara yang paling nampak ketara ialah perubahan dari segi pakej grafik. Semuanya baru bermula daripada persembahan 'montage' hinggalah kepada grafik-grafik maklumat yang dipaparkan. Kita menawarkan pengalaman dan rasa yang serba-serbinya baru." katanya ketika ditemui di Majlis Pra Pelancaran 'IN GEAR' Musim Ke-5 di 'Moto Circus Art Gallery, Art Of Speed Asia 2014' di sini hari ini.
"Cara penceritaan pun kita ubah, di mana kita memasukkan elemen penceritaan berbanding penilaian secara terus sebelum ini. Kita juga memperkenalkan dua segmen baharu iaitu 'Wheelie' sebuah segmen berkaitan motosikal dan juga 'Car News' iaitu segmen berita permotoran yang diterbitkan dengan kerjasama 'Car Magazine Malaysia'."
Bagaimanapun segmen sedia ada seperti 'Drive' (uji pandu), 'Retro Rides' (kenderaan retro) dan 'Pimped' (ubah suai kenderaan) yang sangat diminati penonton terus dikekalkan.
Sementara itu Ketua Pengarang Kumpulan Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman menyifatkan kejayaan 'IN GEAR' bertahan hingga musim ke-5 sebagai bukti terdapat permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia untuk rancangan bercorak majalah permotoran.
"Turut menyumbang kepada kejayaan 'IN GEAR' ialah minat serta dedikasi yang ditunjukkan oleh Penerbit dan Pengacara, Syed Farradino Omar yang dibantu oleh Penolong Penerbit, Ian Johan Ariff dan Pengarah, Azizul Hisham Azizan."
Ujar Suhaimi, "Mereka bukan sahaja komited mahu menyampaikan kandungan releven kepada masyarakat Malaysia malah berusaha keras untuk memberikan satu pengalaman yang berbeza berbanding rancangan majalah permotoran antarabangsa yang sedia ada."
Siri pertama 'IN GEAR' musim ke-5 bakal ke udara pada Sabtu, 5 Julai 2014 pada 9:30 malam.
Ia mengekalkan waktu siaran asalnya sejak pertama kali dilancarkan pada Oktober 2012 bagi memastikan peminat tidak terlepas menonton rancangan majalah permotoran yang paling diminati oleh mereka itu.
#antarabangsa #dunia automotif #In Gear #kembali #musim ke-5 #Rancangan #SYED FARRADINO OMAR #tempatan
;