Gaza: Kritikan PM Anwar terhadap negara Barat raih sokongan individu berpengaruh
Bernama
Mac 15, 2024 16:30 MYT
Mac 15, 2024 16:30 MYT
BERLIN: Kritikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim terhadap kurangnya tindakan negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.
Bekas bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams dalam hantarannya di laman X berkata sejarah tidak boleh dilupakan apabila membincangkan isu.
"Tetapi saya sudah tentu tidak dapat menerima hakikat apabila anda membincangkan isu, kita hanya terhad kepada satu kejadian tertentu yang melupakan ribuan dan ribuan mangsa dari NAKBA (malapetaka besar) 1947-48," catatnya.
"Masya-Allah @anwaribrahim bercakap fakta," kata pemenang Piala Dunia dua kali bersama New Zealand pada 2011 dan 2015 yang mengkritik keadaan di Gaza.
Anwar menarik perhatian antarabangsa apabila beliau mengkritik negara Barat semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac, kerana kurangnya tindakan mereka terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan enam hari ke Jerman, mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap "selektif" dan "ambivalen" mereka terhadap konflik itu.
Wartawan warga British-Amerika yang terkenal Mehdi Hasan berkata Anwar kini mewakili suara majoriti rakyat dunia yang mempertahankan hak warga Palestin.
"Kami telah mencapai satu tahap iaitu perdana menteri Malaysia @anwaribrahim kini bercakap untuk majoriti rakyat dunia dan bukan pemimpin Eropah atau Barat," dalam hantaran di X.
Wartawan Perancis Arnaud Betrand, @RnaudBertrand, berkongsi klip yang sama mengenai pendirian Anwar, menyifatkannya sebagai, "mesti tonton, amat memuaskan," sambil memuji tindakan perdana menteri.
Betrand turut berkongsi petikan Anwar yang Perdana Menteri menyatakan bahawa penyelesaian tidak boleh dicapai dengan bersikap berat sebelah, dari segi hanya melihat satu isu tertentu dan memadam 60 tahun kekejaman.
Penyanyi dan penulis lagu terkenal Sweden berketurunan Lubnan Maher Zain, @MaherZain, mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di Twitter, "Terima kasih Perdana Menteri @anwaribrahim" atas keberaniannya.
Ahli politik dan pengarang Portugis, Bruno Macaes @MacaesBruno dalam hantarannya di X:
"Debat yang menakjubkan di Berlin antara Scholz dan Anwar Ibrahim. Kita hidup dalam dunia baharu. Jerman tidak mendapat "mesej". Percanggahan dalam pengucapan awam juga ketara.
Anwar berkata dasar Israel selama berdekad-dekad terhadap rakyat Palestin dan kekejamannya adalah punca konflik yang berterusan.
Lebih 31,000 nyawa terkorban sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza hampir lima bulan lepas.
-- BERNAMA
#kritikan perdana menteri
#Anwar Ibrahim
#Gaza
#Israel
#sonny bill williams
#Olaf Scholz
#Mehdi Hasan
#Arnaud Betrand
#Maher Zain