Gaza: Kementerian Luar pantau perkembangan cadangan gencatan senjata Mesir

Bernama
Oktober 28, 2024 19:35 MYT
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengemukakan langkah sementara ini sebagai usaha untuk memulakan semula rundingan ke arah mencapai gencatan senjata kekal. - Foto REUTERS
PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia mengambil maklum cadangan damai terkini yang diumumkan oleh Mesir, yang menyeru gencatan senjata selama dua hari di Gaza sebagai langkah awal bagi memudahkan pertukaran empat tahanan Israel dengan beberapa rakyat Palestin yang ditahan secara sewenang-wenangnya oleh rejim Zionis Israel.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan akan terus memantau perkembangan secara dekat dan memberikan maklumat terkini jika perlu.
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengemukakan langkah sementara ini sebagai usaha untuk memulakan semula rundingan ke arah mencapai gencatan senjata kekal dalam tempoh 10 hari akan datang.
Beliau membuat cadangan itu semasa sidang media bersama Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune di Kaherah pada Ahad.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #Gaza #Israel #Mesir #Kementerian Luar
;