Gaza Freedom Flotilla: Ada kemungkinan lokasi pelepasan kapal terpaksa ditukar - FFC

Syafik Shukri Jalil
April 23, 2024 17:32 MYT
Kamarul Zaman menjelaskan, kebenaran untuk keluar dari pelabuhan di Turki masih tetap diperlukan. - Gambar/ Astro AWANI
ISTANBUL: Terdapat kemungkinan pelabuhan bagi pelepasan kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla terpaksa ditukar.
Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Kamarul Zaman Shaharul Anwar bagaimanapun menjelaskan, kebenaran untuk keluar dari pelabuhan di Turki masih tetap diperlukan.
“Ada kemungkinan (tukar pelabuhan lain) cuma nak keluar dari Istanbul, arah mana (lokasi) kapal-kapal ini nak pergi... sama ada nak ke Itali atau ke lokasi lain, kebenaran untuk pelepasan kapal (dari Istanbul) tetap diperlukan.
“Tapi dengan pengalaman yang kita ada bersama FFC, biasanya akan kekal dengan perancangan asal yang telah dirancang selama ini,” katanya.
Kamarul berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas taklimat ringkas bersama delegasi Malaysia pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai perkembangan baharu, bahawa Kerajaan Turki dilaporkan terus dilobi beberapa negara kuasa besar bagi membatalkan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla yang dijadual berlepas pada 24 April 2024 (Rabu).
Ia sekali gus memberi indikasi bahawa terdapat desakan kuat negara kuasa besar kepada kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan untuk membatalkan keseluruhan misi penghantaran bantuan ke Gaza.
FFC sebelum ini mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi ini dijangka akan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 bersamaan hari Rabu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan tiga kapal melibatkan satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang terlibat dalam merealisasikan misi berkenaan.
Kapal-kapal itu akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bahan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan ambulans.
#Gaza Freedom Flotilla #pelepasan kapal #kekejaman israel #pelabuhan turki
;