Gaya hidup sihat? Jangan terperangkap dalam mentaliti senaman hebat atau diet sempurna - Kevin Zahri

Irfan Faruqi
Julai 18, 2024 22:03 MYT
Kevin berkata orang ramai dinasihatkan memberi tumpuan kepada mengamalkan kaedah-kaedah yang praktikal dan konsisten. - Gambar fail/AFP
KUALA LUMPUR: Ramai terperangkap dalam mentaliti mengejar senaman dan diet sempurna untuk mencapai gaya hidup sihat.

Ringkasan AI
  • Mengejar senaman dan diet sempurna tidak diperlukan untuk gaya hidup sihat; aktiviti harian seperti naik turun tangga sudah memadai.
  • Pentingnya keseimbangan dalam pilihan gaya hidup, bukan hanya mengejar yang sempurna atau popular di media sosial.
  • Kekurangan infrastruktur di Malaysia untuk berjalan kaki, berbanding dengan negara-negara lain seperti Singapura, menyukarkan pembudayaan gaya hidup sihat.

Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Dewasa dan Kanak-kanak, Kevin Zahri berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada mengamalkan kaedah-kaedah yang praktikal dan konsisten.
"Kita tidak semestinya perlukan diet paling baik atau senaman paling hebat. Bahkan, naik dan turun tangga sudah cukup baik. Tidak semestinya perlu lakukan sesuatu yang bersifat senaman, yang penting ialah menggerakkan tubuh badan dan mengaktifkan gaya hidup.
“Turun naik tangga dan berjalan kaki, ini semua aktiviti yang ada manfaat yang besar. Ramai orang yang terperangkap dalam mentaliti mesti diet dan senaman sempurna. Hakikatnya, sempurna itu tidak wujud, kerana kita serba kekurangan.
“Kita masih hendak makan makanan yang tular di media sosial. Tidak ada masalah pada saya, tetapi keseimbangan antara pilihan yang baik dan tidak baik perlu diperhatikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambah Kevin, sukar untuk memupuk budaya hidup sihat dengan berjalan kaki di Malaysia memandangkan perancangan bandar yang lemah.
Menurutnya, infrastruktur awam dalam aspek ini jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain yang dikenali sebagai mesra pejalan kaki seperti United Kingdom dan Singapura.
“Tidak perlu tengok jauh ke United Kingdom, bahkan di Singapura juga ada perancangan pembangunan bandar yang memudahkan orang ramai untuk berjalan kaki.
“Saya pernah duduk dalam kereta dengan bekas menteri dan kami memandu bersiar-siar di Putrajaya. Saya beritahu menteri tersebut, tidak ada orang berjalan kaki di Putrajaya. Kenapa? Ini kerana perancangan pembangunan bandar dalam negara lemah,” ujarnya.
Senaman, diet sempurna tidak wujud, tumpu kepada pendekatan praktikal - Pakar
#diet #senaman #gaya hidup #sihat
;