Gaya hidup mewah, polis siasat pegawai kanan miliki dua jam tangan Rolex

Hilmi Malik
Oktober 14, 2023 17:58 MYT
Datuk Seri Azri Ahmad bagaimanapun berkata, siasatan awal mendapati jam berkenaan itu merupakan hasil pemberian ibu dan bapanya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung seorang pegawai kanan polis yang didakwa memiliki gaya hidup mewah termasuk memiliki dua jam tangan berjenama Rolex dipercayai bernilai ratusan ribu ringgit.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad bagaimanapun berkata, siasatan awal mendapati jam berkenaan itu merupakan hasil pemberian ibu dan bapanya.
“PDRM sedang menjalankan siasatan ke atas seorang pegawai kanan polis yang memiliki gaya hidup mewah dengan mempunyai dua utas jam tangan Rolex.
“Hasil siasatan awal mengesahkan bahawa kedua-dua jam tangan tersebut dibeli menggunakan duit hadiah pemberian oleh ibu dan mendiang bapanya yang merupakan ahli perniagaan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: Isteri polis bergelar Datuk didakwa curi jam Rolex suami bernilai lebih RM400,000
Tegas Azri, PDRM bagaimanapun akan terus menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai sudut bagi membuktikan kesahihan perkara berkenaan.
Khamis lalu, media melaporkan, seorang isteri pegawai polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencuri dua utas jam tangan mewah jenama Rolex milik suaminya tiga tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 41 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pinggiran Rapat Ria, Ipoh pada Januari 2021.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kecurian dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda iaitu seutas jam tangan Rolex Sky Dweller (Model 326135) nombor siri 0890R359 dan seutas jam tangan Rolex GMT Master-II 9 (Model 116718 LN) nombor siri A9R56702.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain antara yang lantang menyuarakan isu gaya hidup mewah dalam kalangan anggotanya meskipun tidak memegang jawatan tinggi.
#PDRM #gaya hidup mewah #jam tangan Rolex #Azri Ahmad
;