'Gaya hidup mewah petunjuk seseorang itu rasuah' - Tun M
Astro Awani
November 11, 2015 11:41 MYT
November 11, 2015 11:41 MYT
Gaya hidup mewah perlu dijadikan bukti oleh mahkamah di Malaysia bahawa wujudnya unsur rasuah pada seseorang individu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Memetik laporan portal berita The Malaysian Insider, katanya gaya hidup seperti memiliki banyak kereta mewah merupakan satu petunjuk kepada rasuah.
Menurut Dr Mahathir, jika mahkamah mengambil tindakan berdasarkan petunjuk tersebut, gejala rasuah akan berkurangan.
"Jika anda mahu mengesan rasuah di peringkat tertinggi, lihat pada gaya hidupnya," kata Dr Mahathir seperti yang dipetik portal tersebut.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Simposium Peperangan Malaysia Menentang Rasuah 2015 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambahnya, seseorang yang rasuah tidak akan mampu mengawal dirinya daripada membelanjakan wang yang diperolehi, kerana khuatir akan menemui ajal sebelum ianya sempat dibelanjakan.
"Tidak seronok jika kumpulkan wang berkotak-kotak dan kemudiannya mati," kata Dr Mahathir.
"Malangnya, jika anda pergi ke mahkamah undang-undang, bukti seperti itu tidak cukup. Mahkamah mahu lihat orang tampil ke depan dan berkata, 'dia mengambil wang daripada saya'.
"Mahkamah perlu menerima gaya hidup mewah sebagai bukti mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang disyaki rasuah.
"Jika ini yang berlaku, akan kuranglah peluang mereka di tempat tinggi untuk menjadi rasuah,” katanya lagi.