Gawai Bidayuh Kampung Ta-ee meriah dengan acara 'birarak'
Azizah Alwi
Jun 1, 2024 20:24 MYT
Jun 1, 2024 20:24 MYT
SERIAN: Ia bukan hari yang biasa, tetapi satu sambutan Hari Gawai yang meriah bagi komuniti di Kampung Ta-ee, Serian, apabila menerima kehadiran ribuan pengunjung untuk sama-sama terlibat menjayakan perayaan tersebut.
Ta-ee terkenal kerana setiap kali 1 Jun, akan berlangsung tradisi perarakan melalui laluan sejauh dua kilometer yang dikenali sebagai Birarak Kanyang Paring Sawa Gawai Ta-ee.
Menurut pengerusi penganjurnya, George Oscar, perarakan ini menyaksikan lebih 1,000 peserta baik dari dalam mahupun luar kampung berkenaan mempamerkan pakaian tradisi dan pakaian pahlawan masyarakat Bi- Bukar Bidayuh.
“Pengunjung turut menari mengikuti alunan muzik sambil menikmati keindahan kampung.
"Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan ribuan pengunjung untuk meraikan Hari Gawai bersama kami.
Jelas Oscar lagi, turut dipamerkan, seni, budaya, tarian tradisi, dan muzik daripada kumpulan Bukar Sadong selain dihidangkan masakan tradisional oleh penduduk kampung.
"Kami berharap semua pengunjung pulang dengan kenangan terindah yang boleh mereka kongsikan dengan rakan dan keluarga mereka," katanya.
Bagi pasangan dari Republik Czech, Blanka dan Jan, ini merupakan pengalaman pertama mereka menyertai perarakan Gawai untuk mengenali tradisi dan budaya kaum Bidayuh secara lebih dekat.
“Tahun lepas kami ingin menyertainya…malangnya kami tidak dapat kerana melancong ke tempat lain. Kami berdua baharu sahaja tiba dan ingin melihat tarikan utama di sini. Saya juga gembira kerana cuaca semakin baik dan kami tidak sabar untuk melihat apa yang menarik sempena sambutan Gawai di sini," katanya.
Bagi Alex Maxa yang berasal dari Jerman, beliau berada di Kuching atas tuntutan tugas namun tidak mahu melepaskan peluang merasai sambutan Hari Gawai yang cukup meriah dan disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk kampung.
“Saya rasa amat teruja kerana orang di sini berkongsi makanan dan minuman bersama-sama saya.Ia satu pengalaman yang cukup indah kerana keramahan dan kemesraan penduduk di kampung ini membuatkan saya seperti sebahagian daripada mereka. Jadi ia pengalaman yang cukup manis,” katanya.
Menurut Japar Nyawing, 56, Hari Gawai diraikan sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi bukit, selain untuk melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada "petara" atas rezeki padi yang diperoleh pada musim tersebut.
"Inilah kebanggaan bagi penduduk Kampung Ta-ee. Dalam kampung ini, mereka rajin mempromosikan produk-produk seperti ini ke luar negara untuk menggamit pelancong datang,” tambahnya lagi.
Pada sebelah malam, akan diadakan persembahan pentas kebudayaan oleh artis tempatan, sambil dipertandingkan Kumau dan Kaleng Gawai.
Untuk rekod, Kampung Ta-ee terletak satu jam perjalanan dari pusat bandar raya Kuching.