Gawai 2022: Ngabang dan rumah terbuka dibenarkan - UNIFOR
Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 19, 2022 16:48 MYT
Mei 19, 2022 16:48 MYT
KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) melarang sepenuhnya individu positif COVID-19 daripada menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan sepanjang Sambutan Hari Gawai di Sarawak.
Manakala individu yang bergejala di semua peringkat umur dan yang tidak lengkap vaksinasi juga tidak digalakkan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan sepanjang sambutan perayaan berkenaan.
Larangan tersebut antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan UNIFOR sempena Sambutan Hari Gawai tahun 2022 yang bakal disambut bermula malam 31 Mei hingga 2 Jun depan.
UNIFOR menerusi satu kenyataan pada Khamis turut membenarkan masyarakat Dayak di negeri itu untuk mengadakan beberapa aktiviti yang sebelum ini dilarang sebelum peralihan negara ke fasa endemik 1 Mei lalu.
Aktiviti yang dibenarkan ialah sambutan pra gawai, sembahyang di rumah ibadat, rumah terbuka, jamuan selepas sembahyang di rumah ibadat, ngabang (aktiviti ziarah), dan majlis hari gawai secara terbuka atau tertutup.
“Kapasiti di rumah ibadat adalah seratus peratus namun jemaah diwajibkan memakai pelitup separuh muka, mengamalkan etika 3W (wash, wear, warn) dan elakkan 3C (sesak, sempit, sembang dekat), dan digalakkan memakai pelitup muka ketika tidak menjamu selera,” ulas kenyataan berkenaan.