GAUM desak Dr Mahathir mohon maaf kepada golongan berpendapatan rendah

Bernama
Disember 26, 2016 14:49 MYT
Pemberian BR1M oleh kerajaan Malaysia adalah sebagai salah satu medium bagi menyalurkan bantuan kepada golongan sasar. - Gambar fail
Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) mendesak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ekoran kenyataannya yang menyifatkan BR1M sebagai rasuah.
Pengerusi GAUM yang juga presiden Pakatan NGO PRO Barisan Nasional (BN) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata kenyataan Dr Mahathir berkenaan sudah keterlaluan kerana seolah-olah menghina golongan berpendapatan rendah dan penerima BR1M.
"Umum mengetahui bahawa pemberian BR1M oleh kerajaan Malaysia adalah sebagai salah satu medium bagi menyalurkan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan dan ia jelas bukan rasuah seperti didakwa Tun Dr Mahathir. Hanya rakyat berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan sahaja layak menerima BR1M," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Zulkarnain, pemberian BR1M juga bukannya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat agar menyokong kerajaan memerintah yang diterajui BN kerana BR1M hanya dilaksanakan selepas kerajaan menjalankan kajian menyeluruh serta terperinci berkaitan dasar bantuan itu.
Katanya BR1M dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang turut terkesan dengan kenaikan harga barang agar mereka mendapat manfaat daripada wang tersebut secara yang sepatutnya.
Zulkarnain berkata Dr Mahathir dan juga Pakatan Harapan mungkin menghapuskan BR1M apabila berkesempatan memerintah kelak namun buat masa ini Dr Mahathir seharusnya menghormati dasar kerajaan yang memberikan BR1M kepada rakyat yang memerlukan.
-- BERNAMA
#BR1M #GAUM #Mahathir Mohamad #pendapatan rendah #UMNO
;