Gas perubatan oksigen guna tangki tangki VIE, portable cylinder di hospital mencukupi - Adham Baba

Umavathi Ramayah
Mei 22, 2021 19:04 MYT
Dr Adham Baba memberitahu, pihak pembekal mempunyai kemampuan untuk menghasilkan cecair oksigen hampir lima kali ganda daripada permintaan sedia ada. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, bekalan gas perubatan oksigen yang menggunakan tangki VIE dan portable cylinder di hospital adalah mencukupi.
Malah menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu, pihak pembekal mempunyai kemampuan untuk menghasilkan cecair oksigen hampir lima kali ganda daripada permintaan sedia ada.
Beliau turut memaklumkan bilangan portable cylinder juga mencukupi dan setakat ini mempunyai 20,000 unit dalam simpanan.
"Jumlah itu boleh digunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan.
"Untuk tujuan kecemasan pula, pihak pembekal mempunyai kira-kira 500,000 unit portable cylinder yang boleh diubah suai dalam tempoh singkat mengikut piawaian kegunaan perubatan oksigen," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Adham lagi, pengurusan sistem gas perubatan oksigen di fasiliti kesihatan Malaysia adalah mematuhi stadard Malaysia (MS2675: 2017 dan MS2542: 2013) dan juga piawaian antarabangsa serta dikendalikan oleh kakitangan yang kompeten.
"Pada masa yang sama, pembekalan gas perubatan oksigen ke fasiliti-fasiliti kesihatan adalah secara berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan serta pihak pembekal berkemampuan untuk memenuhi permintaan pembekalan di luar jangka," jelasnya.
Katanya, KKM terus memantau pengurusan sistem gas perubatan di semua fasiliti kesihatan supaya tidak menjejaskan pengoperasian klinikal.
#Hospital #Adham Baba #COVID-19 #bekalan gas #tangki VIE #Kementerian Kesihatan
;