Gas asli mampu tampung permintaan susulan kenaikan harga tenaga
Bernama
November 22, 2021 04:07 MYT
November 22, 2021 04:07 MYT
KUALA LUMPUR: Sumber tenaga seperti gas asli masih menjadi antara pilihan paling berdaya maju bagi memenuhi permintaan di masa depan, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Tenaga Baharu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Adnan Zainal Abidin.
Menurutnya, keperluan memenuhi jurang permintaan pasaran itu juga disebabkan terdapat segelintir negara yang terpaksa bergelut dengan kenaikan harga tenaga berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi serta operasi ke tahap menyamai sebelum pandemik COVID-19.
Beliau berkata, gas asli juga dapat mengimbangi kemampanan, kemampuan dan jaminan permintaan tenaga masa depan ketika peralihan kepada karbon rendah di masa akan datang.
"Gas asli dan gas asli cecair (LNG) yang juga bahan api fosil paling bersih, dijangka terus berkembang dan menyumbang sebahagian besar dalam campuran tenaga utama," katanya dalam ucapan perasmian pada acara Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2021) secara maya di sini.
Malah, Adnan berkata gas asli dan LNG juga merupakan sumber tenaga paling serba boleh berikutan kegunaannya bagi tujuan penjanaan tenaga, industri, pemanasan, komersial serta pengangkutan.
Beliau turut memetik satu kajian oleh firma perunding, McKinsey, yang menyifatkan bahawa permintaan gas dijangka kekal berdaya tahan sehingga 2050 walaupun dalam senario lonjakan peralihan tenaga bagi memenuhi sasaran perubahan iklim global.
Selain itu, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat turut mengunjurkan peningkatan penggunaan global sebanyak 40-45 peratus manakala Unjuran Tenaga Dunia oleh Agensi Tenaga juga menjangkakan gas mewakili satu perempat daripada campuran utama menjelang 2040, katanya.
Sehubungan itu, Adnan menjangkakan fosil akan terus memainkan peranan penting dalam campuran tenaga global bagi tahun-tahun akan datang.
"Peranan tenaga boleh baharu akan berkembang, namun ada kekangannya. Bekalan tenaga solar dan sumber angin yang tidak bersambung atau berterusan kerana memerlukan penyelesaian penyimpanan tenaga yang masih mahal ketika ini.
"Sumber tenaga boleh baharu lain seperti hidrogen hijau pula masih di peringkat awal dan melibatkan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding bahan api fosil," katanya.
Di Malaysia, gas asli juga terbukti berperanan penting dalam menjana ekonomi negara sejak berdekad lamanya menerusi penemuan di Miri, Sarawak pada 1960-an dan luar pesisir Sememanjung Malaysia pada 1980-an.
Adnan berkata, akses ke atas gas asli telah menggalakkan alternatif tenaga negara kepada sumber lebih bersih, meningkatkan keselamatan atau jaminan tenaga, melonjakkan perindustrian dan menyediakan berjuta-juta pekerjaan selain memberi hasil pendapatan mencecah berbilion ringgit untuk Malaysia.
"Namun, sebagaimana yang kita tahu, gas asli dan sumber asli adalah terhad. Pada masa ini, adalah mencabar untuk membawa sumber gas ini pada volum serta kos di tahap seperti sebelumnya.
"Oleh itu, langkah melanjutkan serta meningkatkan bekalan gas menjadi strategi utama untuk Petronas menangani permintaan tinggi terhadap gas.
"Bagi mencapai sasaran itu, kita memerlukan pasaran domestik dan kalangan pengguna akhir untuk mewujudkan ekosistem kondusif yang dapat meneruskan pelaburan huluan bagi pengeluaran gas," katanya.
-- BERNAMA