Gas ammonia kilang ais bocor di Simpang Pulai
Aida Aziz
September 19, 2023 11:45 MYT
September 19, 2023 11:45 MYT
SIMPANG PULAI: Kebocoran gas ammonia berlaku di sebuah kilang membuat ais di Persiaran Industri Rapat, di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.11 pagi tadi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan dibantu BBP Pasir Putih dikejarkan ke lokasi berkenaan.
"Setibanya jentera di lokasi, ketua opeasi membuat 'size up' dan mengambil maklumat dari penyelia kilang.
"Didapati paip saluran gas ammonia mengalami kebocoran dan bau gas tersebut dapat dihidu dari jarak 100 hingga 300 kaki," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) kemudiannya membuat 'size up' serta diver 1 untuk masuk ke dalam kawasan 'hot zon'.
"Ia bagi menutup kebocoran di bahagian valve tangki, pasukan Hazmat akan mengambil bacaan selanjutnya di kawasan 'hot zon' serta mengenal pasti kebocoran yang masih terdapat pada tangki itu," katanya lagi.
Operasi berkenaan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Johari Muhammad serta Penyelia Hazmat, Pegawai Bomba Kanan II, Shaharizala Abu Hanifah.