Gas ammonia bocor, tiga lelaki berdepan detik cemas
Bernama
Ogos 10, 2024 16:57 MYT
Ogos 10, 2024 16:57 MYT
SEREMBAN: Seorang pemandu lori dan dua pembantunya berdepan detik cemas apabila satu daripada 10 tong gas ammonia yang dibawa mereka mengalami kebocoran di Jalan Stesen Kuala Sawah, Kampung Saga, Rantau di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Mohd Syazwan Saidi berkata ketiga-tiga mereka yang masing-masing berusia 27, 44 dan 54 tahun itu membawa muatan 10 tong gas ammonia dari Tangga Batu, Melaka ke Kuala Sawah.
"Semasa membuat penurunan tong tersebut didapati dua tong tergelincir lalu satu daripadanya didapati injap tercabut dan berlaku kebocoran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pasukannya membuat semburan air di tempat kejadian serta melakukan pengungsian terhadap premis tersebut selain menghubungi Unit Khas Hazmat dari BBP Seremban 2.
"Unit Khas Hazmat, mengenal pasti bahan kebocoran tong gas tersebut dan mengambil bacaan udara persekitaran selain menjalankan kerja penampalan (plugging) pada kebocoran tong," katanya.
Beliau berkata Unit Khas Hazmat sekali lagi membuat bacaan udara persekitaran bagi memastikan keadaan dalam keadaan baik dan operasi tamat pada 1.42 tengah hari tadi.
-- BERNAMA