Gas ammonia bocor: Kilang ais diarah pindah

Bernama
Ogos 17, 2018 18:07 MYT
Unit HAZMAT dari Jabatan Bomba mengawal keadaan selepas insiden gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam, semalam. - Astro AWANI
Kerajaan Negeri mengarahkan sebuah kilang ais, yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Klang di sini, supaya dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai jauh dari kawasan perumahan dan kawasan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata pemilik premis berkenaan perlu memindahkan operasi kilang itu secepat mungkin bagi mengelak berulangnya kejadian kebocoran gas ammonia.
"Minggu depan cuti sekolah dan saya rasa ia adalah waktu yang tepat untuk kilang ais ini berpindah, paling penting tangki gas ammonia yang ada di kilang ini perlu dipindahkan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Hee, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah membatalkan lesen operasi kilang itu bermula hari ini berikutan berlaku kebocoran kali kedua semalam.
BACA: Enam pelajar di Shah Alam dikejarkan ke hospital terhidu gas ammonia bocor
Tambah beliau, pihaknya turut akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk mengadakan bancian ke atas kilang ais dan kilang menyimpan gas serta bahan kimia berbahaya bagi mengetahui jumlah dan lokasi kilang berkenaan.
"Ia adalah sebagai langkah awal untuk mengenalpasti jika terdapat kilang seperti ini terletak dekat dengan kawasan sekolah dan perumahan, jika ada ia akan diarah berpindah ke kawasan yang lebih sesuai," katanya.
Dalam kejadian pagi semalam, sekolah itu terpaksa ditutup selepas sekali lagi berlaku kebocoran gas ammonia di kilang ais terbabit.
Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, tujuh pelajar sekolah itu dikejarkan ke dua hospital berasingan selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas.
Pada Isnin lepas, kebocoran gas ammonia di kilang berkenaan menyebabkan dua pekerjanya maut sementara 18 lagi dikejarkan ke hospital.
Kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kilang berkenaan selepas kejadian pertama dua tahun lepas, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa. -- Bernama
#gas ammonia bocor #kilang ais #sekolah menengah chung hwa #shah alam
;