Garis panduan umat Islam hadir rumah ibadat bukan Islam untuk jaga hubungan - YADIM
Bernama
Februari 7, 2025 11:15 MYT
Februari 7, 2025 11:15 MYT
YADIM menyokong usaha kerajaan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam sebagai asas menjaga muamalah dalam kalangan masyarakat.
PUTRAJAYA: Cadangan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam mampu menjadi panduan kepada umat Islam untuk menjaga asas muamalah (perhubungan) dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin berkata garis panduan itu akan memudahkan umat Islam membuat keputusan dan memahami batas digariskan dalam Islam mengikut hukum syarak, yang telah ditetapkan oleh badan autoriti agama mengikut negeri.
Beliau berkata garis panduan itu dapat memastikan umat Islam di negara ini tidak terlalu bersikap paranoid hingga menolak untuk menghadiri majlis sambutan perayaan dan upacara kematian jiran atau sahabat yang berlainan agama.
"Setelah meneliti matlamat garis panduan ini, ia menepati sikap wasatiyy (sederhana) yang dianjurkan Islam.
"YADIM menyokong usaha ini sebagai asas menjaga muamalah dalam kalangan masyarakat seperti mana diwujudkan garis panduan menghadiri premis kerajaan dan etika serta tatasusila yang harus dijaga sepanjang pergaulan berlaku di peringkat masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri berkata usaha itu turut bertepatan dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mementingkan soal perpaduan kaum dan agama di negara ini dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju serta berjaya.
Justeru, YADIM akan menggalas tanggungjawab untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat melalui sesi dialog serta wacana ilmiah bagi memastikan garis panduan itu difahami dan dapat membentuk sebuah masyarakat MADANI yang kaya dengan ilmu dan akhlak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sebelum ini berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Beliau berkata ia adalah sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
-- BERNAMA