Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan dimuktamad April ini

Bernama
Februari 22, 2023 20:32 MYT
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dijangka dimuktamadkan akhir April ini.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata garis panduan yang dibuat susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali hujang tahun lepas itu mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi yang berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pengusaha tapak perkhemahan.
"GPP ini memberikan fokus kepada aktiviti perkhemahan jenis asas, iaitu perkhemahan yang menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas minimum serta kelengkapan, peralatan dan makanan yang perlu dibawa sendiri oleh peserta.
"Antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkemahan yang digariskan adalah keselamatan tapak dengan menentukan jarak yang sesuai dari kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi dan tahap kecerunan yang sesuai, serta struktur kekuatan tanah," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPKT di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata draf GPP itu juga menyentuh aspek berkaitan pematuhan perundangan di bawah bidang kuasa PBT dan agensi berkaitan seperti kelulusan permit sementara bangunan, lesen perniagaan, permit papan tanda dan iklan serta permit menjalankan aktiviti luar atau ekstrim.
Sementara itu Nga berkata KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus mengkaji dan menilai aspek keselamatan kepada anggota-anggota bomba sewaktu menjalankan tugas agar dapat menghindari sebarang insiden tidak dingini.
Beliau berkata kementerian sentiasa memandang serius berhubung aspek keselamatan anggota bomba sewaktu menjalankan tugas sama ada gangguan ataupun serangan secara fizikal oleh mana-mana pihak yang boleh mendatangkan kecederaan.
"Pada tahun 2018, kementerian melalui JBPM telah meminda dan memperkemas Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) berkaitan mengganggu pegawai bomba dalam melaksanakan tugasnya, yang denda telah dinaikkan daripada tidak melebihi RM5,000 kepada tidak melebihi RM50,000 manakala hukuman penjara dinaikkan dari tempoh tidak melebihi tiga tahun kepada tidak melebihi lima tahun, jika disabit kesalahan," katanya.
Beliau menjawab cadangan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) ketika perbahasan usul berkenaan supaya kerajaan menambah bilangan anggota bomba dan memperkasa akta sedia ada untuk melindungi anggota bomba yang menjalankan tugas.
-- BERNAMA
#Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan #GPP #PLANMalaysia #Nga Kor Ming
;