Garis Panduan Pengurusan Risiko Teknologi SC berkuat kuasa hari ini

Bernama
Ogos 19, 2024 22:28 MYT
SC berkata insiden CrowdStrike baru-baru ini telah mencerminkan kelemahan infrastruktur digitaldan kesan secara meluas yang boleh dialami terhadap organisasi. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Garis Panduan Pengurusan Risiko Teknologi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang telah disemak semula berkuat kuasa hari ini, menggantikan Garis Panduan Pengurusan Risiko Siber (GMCR).
Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata garis panduan yang disemak itu pada awalnya dikeluarkan pada Ogos 2023 bagi membolehkan entiti pasaran modal memahirkan diri dengan amalan pengurusan risiko,yang kini berkembang melangkaui keselamatan siber termasuk antara lain, risiko teknologi.
Oleh itu, garis panduan berkenaan menekankan kepentingan mengukuhkan kebolehpercayaan operasi, keselamatan dan daya tahan terhadap gangguan teknologi, termasuk menetapkan jangkaan SC mengenai amalan pengurusan risiko yang akan diterima pakai oleh industri.
"Isi kandungan utama yang diliputi termasuklah proses 'pengurusan perubahan', penyedia perkhidmatan pihak ketiga, keperluan pelaporan, audit teknologi, pengawasan lembaga dan akauntabiliti terhadap risiko teknologi," katanya.
SC berkata insiden CrowdStrike baru-baru ini telah mencerminkan kelemahan infrastruktur digitaldan kesan secara meluas yang boleh dialami terhadap organisasi, menekankan kepentingan peraturan seperti garis panduan dalam memperkukuh amalan daya tahan operasi.
Pengawal selia itu berkata adalah penting bagi semua entiti pasaran modal memahami kepentingan mematuhi garis panduan ini.
"Ia bukan sahaja dapat melindungi daripada risiko teknologi serta-merta, tetapi juga membina landskap teknologi yang berdaya tahan, selamat dan beretika untuk masa hadapan.
"Inisiatif ini menggariskan usaha berterusan SC untuk mengukuhkan pasaran modal Malaysia dan keyakinan pelabur," katanya.
-- BERNAMA
#keselamatan siber #suruhanjaya sekuriti #GMCR #masa hadapan