Garis panduan operasi 'Dapur Jalanan' akan diumum Ogos

Bernama
Julai 23, 2014 07:39 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan akan nilai semula peraturan larangan beroperasi dapur jalanan di luar lingkungan 2km dari Lot 10. -gambar hiasan
Kementerian Wilayah Persekutuan akan menilai semula peraturan melarang dapur-dapur jalanan beroperasi dalam lingkungan dua kilometer dari pusat beli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur.
Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur Wong Kar Fai berkata semua dapur jalanan, sama ada yang beroperasi di dalam bangunan ataupun yang bergerak boleh meneruskan operasi mereka pada ketika ini dengan syarat mengutamakan kebersihan.
"Kerajaan akan menilai pada 16 Ogos nanti sama ada untuk meneruskan larangan ini atau tidak," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama kementerian itu di sini Rabu.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mengumumkan larangan itu bagi menangani masalah gelandangan dan peminta sedekah, selain membabitkan isu-isu kebersihan.
Wong berkata kementerian juga bersetuju untuk penyedia perkhidmatan dapur jalanan menguruskan tempat perlindungan untuk gelandangan, namun perbincangan mengenai lokasinya perlu diadakan terlebih dahulu.
Sementara itu seorang lagi Koordinator Dapur Jalanan Kuala Lumpur Mandeep Singh berharap satu sesi mesyuarat awam terbuka dapat diadakan segera berkaitan isu gelandangan.
Mesyuarat kementerian hari ini bagi membincangkan isu berkaitan gelandangan dan pengemis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu turut disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Kechara, Pertubuhan Amal Firdausi dan Pusat Komuniti Ikhlas Chow Kit.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, garis panduan bagi Dapur Jalanan bergerak, yang mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan akan diumum dalam masa dua minggu.
Jelasnya, garis panduan itu tidak melibatkan aktiviti Dapur Jalanan di premis tertentu seperti rumah ibadat dan kedai.
Jelasnya, garis panduan itu bertujuan memastikan Dapur Jalanan bergerak yang menggunakan lori, van dan kenderaan lain memastikan aspek kebersihan diutamakan dalam aktiviti mereka.
#Dapur Jalanan #DBKL #sedekah #soup kitchen #Tengku Adnan
;