Garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam dimuktamad hujung bulan ini
Bernama
Februari 5, 2025 19:00 MYT
Februari 5, 2025 19:00 MYT
JAKIM kini sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
"Garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Feb ini," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang ingin tahu pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan yang turut melibatkan orang Islam yang perlu menjaga akidah dan pada masa sama memelihara perpaduan pelbagai kaum.
Mohd Na'im berkata garis panduan ini, antara lain, menggariskan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan yang tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, seperti ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan ajaran agama lain.
"Persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam, pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat," katanya.
Selain itu, Mohd Na'im berkata penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum majlis perayaan dilaksanakan.
Katanya garis panduan itu melengkapi Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-68 pada 12 April 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
Bagaimanapun, beliau berkata mana-mana perkara dalam garis panduan lama yang bertentangan dengan garis panduan baharu adalah tidak terpakai.
"Kerajaan sentiasa tegas dan berpendirian bahawa akidah umat Islam mestilah dijaga dan pada masa yang sama memelihara perpaduan pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat Malaysia selari dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA