Garis panduan kelulusan penganjuran konsert di KL akan disemak semula - Shahidan
Raja Hisyam Raja Zaid
September 4, 2022 17:09 MYT
September 4, 2022 17:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur pada masa akan datang.
Menurut menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim, semakan baharu perlu dibuat terhadap ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan bagi setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert.
Jelasnya, ia bertujuan bagi memastikan setiap konsert hiburan yang diadakan tidak melampaui batasan yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh yang tidak sihat terutamanya membabitkan golongan belia di negara ini.
"Sebab ada juga orang mengadu tentang beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur, tapi dalam masa yang sama kita nak ada kesan yang positif.
"Jadi, (Kementerian) Wilayah ni sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan)," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian penutup Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 (HBN 2022) di Dataran Astaka, Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Katanya, semakan itu turut membabitkan kelulusan permit konsert yang telah dikeluarkan oleh pihak DBKL namun masih belum diadakan.
Tegas Shahidan, KWP tidak akan berkompromi sekalipun membabitkan artis-artis terkenal sekirangan konsert yang ingin dianjurkan itu mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat.
Bagaimanapun jelasnya, sebarang keputusan untuk penambahbaikan terhadap garis panduan itu belum diputuskan ketika ini dan hanya akan ditentukan sebaik menelitinya secara terperinci.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program HBN 2022, beliau mengaskan belia di negara ini tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika dunia sedang bergerak pantas ke hadapan dalam pelbagai bidang.
Malah, Shahidan mengingatkan agar golongan itu sedar bahawa apa yang mereka lakukan hari ini akan menentukan masa depan bangsa dan negara.
Dalam melayari kemahuan jiwa selalu golongan muda jelasnya, nilai asas jati diri perlu sentiasa menjadi panduan agar apa jua yang dilakukan oleh golongan tersebut akan sentiasa berada di landasan yang betul.
"Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', "katanya lagi.
Karnival Sambutan HBN 2022 bertemakan 'Ini masa kita' telah berlangsung sejak semalam dengan berteraskan tujuh segmen.
Ia meliputi modal insan, gaya hidup sihat, ekonomi, kreativiti, inovasi dan digitalisasi, kenegaraan dan patriotisme, daripada belia untuk belia dan belia usahawan.