Garis panduan hukuman jenayah hutan Sabah dilancarkan
Radhi Muslim
Disember 2, 2021 15:05 MYT
Disember 2, 2021 15:05 MYT
SANDAKAN: Sabah melancarkan Garis Panduan Hukuman Jenayah Hutan yang akan diguna pakai para hakim dan majistret dalam menjatuhkan hukuman sekali gus mengelakkan perbezaan hukuman terhadap jenayah yang sama.
Ketua Hakim Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim berkata, garis panduan berkenaan adalah yang kedua dikeluarkan di Sabah.
Menurutnya, pada tahun 2019, Garis Panduan Jenayah Hidupan Liar pernah dikeluarkan.
Kini, garis panduan bagi hukuman jenayah hutan turut dilancarkan dan Sabah menjadi negeri pertama memiliki garis panduan berkenaan.
“Ini merupakan kali kedua ada garis panduan untuk hukuman… yang pertamanya kita adakan untuk jenayah perlindungan hidupan liar..
“Yang ini, berkenaan dengan jenayah yang melibatkan aktiviti yang mengambil sumber daripada hutan di negeri Sabah,” kata beliau dalam sidang media sempena majlis pelancaran Garis Panduan Hukuman Jenayah Hutan, di Mahkamah Sandakan, pada Khamis.
Menurutnya, dengan garis panduan berkenaan, ia membawa pelbagai kesan positif, antaranya akan mengelakkan jurang perbezaan hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang sama.
“Apa yang diharapkan adalah kita hendak mengelakkan terdapatnya jurang yang besar antara hukuman-hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap jenayah yang serupa.
“Maka, tujuan garis panduan ini adalah untuk mengelak daripada wujudnya keadaan yang sedemikian itu, supaya jenayah-jenayah yang serupa, hendaklah sebaik mungkin hukumannya mestilah agak sama,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan garis panduan berkenaan, pihaknya berharap agar hakim dan majistret mendapat panduan dalam melaksanakan tugas kehakiman mereka apabila menjatuhkan hukuman berkaitan kes hutan.
Ujarnya lagi, apa sahaja hukuman yang dijatuhkan turut mencerminkan kerosakan atas kesalahan yang dilakukan, dengan sewajarnya.