Garis panduan hiburan oleh Jakim perlu difatwakan - Fathul Bari
Ashwad Ismail
April 19, 2015 18:06 MYT
April 19, 2015 18:06 MYT
Bukan sahaja garis panduan, malah Jakim berhak mengeluarkan fatwa mengenai hiburan dalam Islam.
Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU) Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata demikian sambil menyifatkan garis panduan itu jelas berlandaskan kepada perspektif Islam yang asal.
"Ia merupakan permulaan baharu dan pencerahan isu-isu berkenaan dengan hiburan," kata Dr Fathul Bari ketika dihubungi Astro AWANI petang tadi.
Beliau mengulas mengenai garis panduan baharu mengenai hiburan dalam Islam oleh Jakim yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat umum dan para penggiat industri hiburan tanah air.
"Garis panduan tersebut, butirannya menurut nas al-Quran, hadis Nabi; maka Jakim cuba menyampaikan garis panduan tersebut memang menurut perspektif Islam yang asal.
"Saya bersetuju dengan garis panduan yang diletakkan oleh Jakim sebagai permulaan baharu bagi pencerahan bagi isu-isu seperti ini.
"Bayangkan, apabila berlakunya benda-benda tak baik ini, akhirnya siapa yang hendak dipersalahkan? Orang akan kata mana Jakim? Mana Jabatan Agama Islam? Mana Mufti? Mana Menteri? Bila dah keluarkan fatwa pun tidak boleh juga, orang nak marah juga," katanya lagi.
Garis panduan tersebut antara lain menggariskan peraturan mengasingkan antara lelaki dan perempuan dalam kalangan penonton.
Malah pengasingan tersebut turut melibatkan persembahan pentas.
Jakim juga menetapkan lawak jenaka yang disampaikan artis hendaklah tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa melampau.